Victoria lebih kaya berbanding Beckham



Bintang terkenal, Victoria Beckham sememangnya tersohor dengan kehidupan mewah. Ke mana sahaja kakinya melangkah, bekas anggota kumpulan Spice Girls itu pasti menyarungkan busana cantik dan berjenama.

Sebelum ini, ramai yang menganggap dia hanya menumpang kemewahan yang dimiliki suaminya, David Beckham. Bagaimanapun sejak menubuhkan syarikat sendiri, Victoria Beckhams Ltd pada 2008 dan melahirkan jenama pakaian sendiri, Victoria Beckham Collection, wanita berkenaan menjana pendapatan sebanyak AS$50.7 juta (RM217 juta) pada tahun ini.

Berbanding suaminya, bekas bintang pola sepak terkenal, Beckham pula hanya meraih pendapatan sebanyak AS$25.3 juta (RM108.6 juta). Perbezaan jumlah pendapatan tersebut merupakan kejayaan besar buat Victoria.


Dia kini boleh berbangga memiliki kekayaan hasil daripada titik peluhnya sendiri.

Kini, menerusi syarikatnya, Victoria mempunyai 100 orang kakitangan dan memiliki cawangan butik di London, Hong Kong, Amerika Syarikat dan di beberapa buah negara di Asia Barat.

Selain itu, pasangan suami isteri popular tersebut juga memiliki beberapa rangkaian perniagaan termasuklah Beckham Brand Holdings yang dikongsi bersama bekas pengurus Spice Girls, Simon Fuller.

Bagi melancarkan perjalanan perniagaan masing-masing, Beckham telah menarik diri daripada syarikat milik isterinya, Victoria Beckham Ltd. Dia menubuhkan syarikat sendiri iaitu Beckham Ventures pada Ogos tahun lalu tanpa campur tangan Victoria.

Previous Post Next Post