Caliph Buskers nafi naik teksi ke AJL30


CALIPH BUSKERS ketika menyampaikan lagu Hanya NamaMu pada AJL30 di Stadium Malawati, Shah Alam yang meletakkan nama mereka di tangga ketiga.

USAI memenangi tempat ketiga pada Anugerah Juara Lagu ke-30 (AJL30)pada Ahad lalu, kumpulan Caliph Buskers terpaksa menjawab isu yang menyakitkan telinga timbul khabar angin mendakwa mereka hanya menaiki pengangkutan awam untuk majlis gilang-gemilang tersebut.

Terpanggil memberikan penjelasan, vokalis kumpulan yang bertanding atas tiket Hanya NamaMu itu, Azmi atau nama sebenarnya Khairul Azmi Mohd. Saat, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang tersebar.

Kata Azmi, isu tersebut barangkali sengaja dibangkitkan oleh individu tidak bertanggungjawab memandangkan status mereka sebagai orang kelainan upaya (OKU). Sebagai artis yang menjadi mangsa keadaan, Azmi tidak pasti adakah penyebaran gambar berkenaan bertujuan untuk menagih simpati atau memburuk-burukkan syarikat rakaman mereka, KRU.



KUMPULAN Caliph Busker kini sudah mampu mempunyai studio yang terletak di Brickfields.

KOSMO!: Tahniah kerana berjaya memenangi tempat ketiga pada AJL30. Benarkah dakwaan mengatakan anda dan anggota kumpulan lain menaiki teksi ke majlis berprestij tersebut?

CALIPH BUSKERS: Perkara tersebut tidak benar. Kami sebenarnya tidak menaiki teksi ke Stadium Malawati, Shah Alam pada malam AJL30 baru-baru ini. Gambar yang bertebaran di laman sosial tersebut merupakan gambar yang dirakam oleh orang yang sengaja mereka cerita. Sebenarnya dalam gambar tersebut menunjukkan dua anggota kami, Fendy dan Adira ketika hendak berjumpa anak mereka di Brickfields. Untuk ke AJL30, kami semua bertolak ke Stadium Melawati menggunakan kenderaan yang disediakan KRU.

Apa yang anda ingin katakan kepada individu yang menjaja cerita sebegitu?

Saya tidak mengerti tentang tujuan penyebaran cerita sebegitu. Barangkali mereka mahu kami diberi perhatian pada malam AJL30. Tetapi, rasanya tidak perlu sampai memburuk-burukkan pihak lain. Orang akan kata pihak KRU tidak bertanggungjawab, walhal mereka menjaga kami dengan baik. Kalau nak cerita pun, ceritalah perkara yang benar.

Adakah anda merasakan bahawa ada pihak tidak berpuas hati dengan kejayaan Caliph Buskers sehingga sanggup memburukkan nama Caliph Buskers dan pihak pengurusan?

Mungkin benar, mungkin tidak. Semua orang ada pandangan masing-masing. Sebagai artis, kami kena berdepan dengan realiti tersebut.

Sekarang muncul juga desas-desus mengatakan anda sudah mula meletakkan bayaran tinggi untuk tawaran persembahan. Apa komen anda?

Harga yang kami minta mungkin tidak tinggi, tetapi setimpal dengan tenaga yang kami gunakan di atas pentas. Kami pun kena berhati-hati. Sebelum ini, kami kenakan harga yang rendah, tetapi tidak berbaloi dengan komitmen yang diberikan. Rasanya, bayaran harus setimpal dengan apa yang kami beri. Itu sahaja.

Tahniah juga kerana tercalon dalam kategori Grup/Duo MeleTOP dalam Anugerah MeleTOP 2016 yang akan berlangsung pada 28 Februari nanti. Boleh kongsi perasaan mewakili rakan-rakan yang lain?

Saya rasa seronok kerana dapat berdiri sebaris dengan artis-artis popular dalam sebuah majlis besar. Walaupun berstatus OKU, kami membuktikan kami juga mempunyai peminat sendiri.

Ini bermakna, anda bukan sahaja merangkul anugerah terbaik hasil kualiti muzik tetapi mula meniti nama di bibir peminat daripada segi populariti.

Alhamdulillah. Perjalanan kami masih jauh dan panjang. Kami harap dapat terus memberikan yang terbaik buat peminat.

Khabarnya, kumpulan Caliph Buskers juga sudah mempunyai studio muzik sendiri, boleh ceritakan lanjut tentang hal tersebut?

Ya betul. Tetapi studio berkenaan untuk kegunaan sendiri sahaja. Ia terletak di Brickfields. Sebuah studio yang sederhana, memadai untuk kami sekumpulan membuat latihan. Insya-Allah kalau ada rezeki, mungkin kami akan besarkan sedikit lagi studio tersebut.

Baiklah, boleh kongsi perkembangan seni terbaharu?

Buat masa ini, kami sedang merancang untuk melancarkan single kedua, tetapi masih lagi terlalu awal untuk didedahkan. Ia sebuah lagu yang berbeza berbanding single pertama daripada segi lirik dan muzik.

Previous Post Next Post