Hafiz Hamidun lebar sayap sampai ke Afrika Selatan



SETELAH Mesir, penyanyi dan juga pemilik syarikat rakaman Arteffects International, Hafiz Hamidun terus melebarkan sayapnya ke Afrika Selatan pula.

Menurut penyanyi berusia 32 tahun itu, anak syarikatnya yang berpangkalan di Johannesburg, Arteffects Pty Ltd memfokuskan kepada pasaran di negara itu dengan produk pertama adalah The One oleh Muhammed Yaseen Muhammad.

"Insya-ALLAH bulan Mei nanti, saya akan menyertai artis di Afrika Selatan untuk mengadakan jelajah," katanya pada majlis sambutan ulang tahun Arteffects International ke-10, hari ini.

Di Mesir, Arteffects Ptd Ltd ditubuhkan tahun lalu yang mensasarkan pasaran negara-negara Arab termasuk Dubai, Turki, Qatar, Bahrain dan Oman.

"Di Mesir, artis kita adalah Mostafa Atef yang kita temui melalui Youtube dan kini menjadi antara yang paling popular di Mesir," katanya.

Selain itu, Arteffects turut mempunyai jenama sendiri untuk pakaian Muslim dan Muslimah, Mikraj Concept yang sudah pun berada di pasaran sejak 2014.

Pada awal tahun ini pula, Suflyka iaitu jenama baharu berkonsepkan kesihatan dan kecantikan diperkenalkan yang akan mengetengahkan produk kosmetik, makanan dan minuman kesihatan serta minyak wangi.

Dalam pada itu, Arteffects turut mewujudkan portal jualan atas talian tahun lalu, CDNasyid yang menawarkan lebih 100 tajuk album nasyid di negara ini dari pelbagai label.


Susulan bencana banjir besar di Kelantan, Hafiz Hamidun menubuhkan sebuah badan kebajikan, Yellow Packs untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa dan berjaya mengumpulkan RM102,000 hasil sumbangan rakyat negara ini.

Akan datang Hafiz Hamidun berkata, Yellow Packs akan melancarkan 'crowdfunding' ekoran banyak pihak yan menghubunginya untuk mendapatkan dana.

"Jadi, saya terfikir untuk mewujudkan 'crowdfunding' ini.

"Saya sendiri yang akan menilai mana-mana 'proposal' yang diterima untuk diuar-uarkan kepada umum," katanya.

Previous Post Next Post