Langkah baharu empat bekas deejay Hot FM


AG, Ikhwan, Fara Fauzana dan Liza akan menamatkan perkhidmatan mereka bersama Hot FM hujung bulan ini.

TIADA angin, tiada ribut, tiba-tiba sahaja stesen radio swasta popular Hot FM mengumumkan pengunduran empat penyampai radio mereka secara serentak. Empat nama besar Hot FM, Fara Fauzana, AG, Ikhwan dan Liza disahkan mengundur diri daripada stesen radio berkenaan dalam satu sidang akhbar yang diadakan baru-baru ini.

Paling mengejutkan sudah tentu keputusan ratu radio, Fara Fauzana, 36, yang nekad berhenti daripada Hot FM. Bagaimanapun menurut Fara, keputusan yang diambil pada Disember tahun lalu itu tiada unsur paksaan daripada mana-mana pihak. Sebaliknya dia memilih untuk berhenti setelah genap 10 tahun bersama Hot FM untuk memberi tumpuan kepada diri sendiri selain mendalami agama serta aktiviti kemasyarakatan.

“Saya berhenti bukannya bersara. Mungkin pada masa depan saya akan kembali bersama radio semula. Ingin ditegaskan, keputusan untuk berhenti telah lama saya fikirkan. Sudah tiba masanya saya beri tumpuan kepada diri sendiri dan melakukan perkara lain yang sudah lama dirancang seperti menghadiri kelas agama serta menganjurkan ceramah di universiti dan kolej tentang dunia penyiaran radio.

“Impian saya sekarang ini adalah melakukan aktiviti yang memberi sumbangan kepada masyarakat. Saya juga ingin memberi fokus kepada kehidupan peribadi seperti meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga serta rakan rapat,” tutur Fara.

Dalam pada masa yang sama, Fara juga menafikan khabar angin bahawa dia berhenti kerana mendapat tawaran bekerja di stesen radio lain dan akan berkahwin.


“Saya berhenti bukan kerana akan bekerja di stesen radio lain atau berkahwin. Semua itu tidak benar kerana saya tidak akan ke mana-mana. Andai, saya kembali bekerja semula, rangkaian radio Media Prima menjadi keutamaan,” jelasnya.

Bagaimanapun peminat tetap akan dapat melihat kelibat Fara di dunia seni. Selepas ini peluangnya untuk terlibat dalam lakonan serta pengacaraan lebih terbuka luas kerana tidak mempunyai komitmen tetap dengan stesen radio.

Selama 15 tahun bekerja dalam bidang penyiaran radio, Fara mengakui cukup sukar untuk dirinya mengambil keputusan berkenaan apatah lagi memberitahu perkara tersebut kepada keluarga serta rakan seperjuangan.

“Memang sukar untuk meluahkan hasrat berhenti, ibu bapa dan rakan semua terkejut.

“Paling membimbangkan sudah tentu faktor ekonomi, sebelum ini saya mempunyai kerja tetap, sekarang apabila bekerja sendiri perlu lebih bijak mencari kerja. Namun, saya yakin rezeki Allah ada di mana-mana,” luahnya.

Sementara tiga penyampai lain, AG, Ikhwan dan Liza pula akan berhijrah ke stesen radio baharu milik rangkaian Media Prima bermula 3 Mac depan.

Keempat-empat mereka akan ke udara buat kali terakhir di Hot FM pada 26 Februari ini.

Dalam pada itu Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Radio Media Prima, Seelan Paul memberitahu, pengunduran secara serentak empat penyampai Hot FM tidak akan menjejaskan operasinya stesen radio itu.

Ini kerana pihaknya telah membuat perancangan yang teliti untuk menyusun semula operasi keseluruhan Hot FM.

“Kewujudan stesen radio baharu pada 3 Mac depan secara tidak langsung memberi peluang kepada pihak pengurusan untuk menstruktur semula operasi Hot FM.

“Saya percaya untuk menjadi yang terbaik kita tidak boleh terlalu selesa, sebaliknya perlu melakukan perubahan mengikut peredaran waktu,” kata Seelan.

Previous Post Next Post