Risteena cemburui Ruhainies?


KEDUA pelakon ini merupakan pasangan adik-beradik. Baik Risteena Munim atau pun Ruhainies Munim, mereka sama-sama dilahirkan menerusi drama bersiri di slot Akasia TV3

Bagaimanapun, jika dilihat perjalanan kerjaya mereka, nama Risteena lebih dahulu dikenali berbanding Ruhainies yang baru sahaja mencipta nama sebagai pelakon sekitar tahun lalu.

Berkongsi penglibatan adiknya dalam industri ini, Risteena yang sedang popular menerusi drama bersiri Cinta Teruna Kimchi ini memberitahu, dia sebenarnya gembira kerana adiknya itu mengikut jejak langkahnya.


"Saya cukup teruja dan gembira apabila dia turut menunjukkan minat dalam bidang ini.

"Malah saya sentiasa memberikan sokongan kepadanya untuk terus berusaha mencipta nama supaya lebih dikenali suatu hari nanti," katanya.

Akuinya, meskipun nama adiknya kurang menyerlah, sebagai pendatang baharu, dia sentiasa menasihati adiknya itu supaya tidak menyerah kalah.

"Dia masih muda dan boleh pergi lebih jauh, saya harap dia tidak mensia-siakan peluang yang ada," katanya yang pernah popular menerusi drama bersiri Ala Bib.

Ditanya adakah dia tidak bimbang atau cemburu jika Ruhainies lebih popular daripadanya, jelas Risteena, dia tidak pernah berfikir begitu.

"Rezeki dan kejayaan terletak atas usaha masing-masing. Jika suatu hari nanti dia lebih berjaya daripada saya, sebagai kakak, saya tumpang gembira," katanya.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »