Bahayanya Wanita ke Singapura



Sebaik selesai dipentaskan 31 Disember lalu, kita dengar khabar teater Bahayanya Wanita dilamar penerbit dari Singapura untuk dipentaskan di dewan Esplanade.

Khabarnya, selaku penulis dan pengarah, Erma Fatima mengadakan perbincangan awal dengan pihak yang mahu membawa pementasan Bahayanya Wanita di sana.

Kita risik dengan Erma, adakah dia selaku pengarah bersama dan penulis akan membawa karyanya ke seberang Tambak Johor.

Lagipun setahu kita, dewan Esplanade bukan asing bagi Erma kerana sebelum ini dia pernah mementaskan Akulah sebelum mementaskan Bahayanya Wanita di sini.

Kata Erma, memang dia pernah mementaskan karya teaternya di sana, tetapi pementasan Akulah dibuat dalam skala kecil.




Berbeza dengan Bahayanya Wanita dalam skala besar.

Kata Erma, dia hanya akan menerima lamaran dari mana-mana penerbit dari Singapura jika apa dipentaskan di Istana Budaya juga dapat dibuat di sana.

Dia mahu ia dilakukan di dewan besar.

Barisan pelakon seperti Zizan Razak, Nora Danish, Erra Fazira, Umie Aida, Ziela Jalil dan Johan Asa’ari dan dia sendiri harus dikekalkan dan ini akan memberi momentum sama terhadap karya dihasilkan.

Pendek kata, Bahayanya Wanita terlalu sentimental buat Erma, sudah tentu kalau ia dipentaskan sekali lagi, sebaik mungkin dia mahu mengekalkan apa yang ada.

Tahniah juga kita ucapkan kepada Erma dan pelakon yang menjayakan Bahayanya Wanita kerana pementasan komedi separa muzikal itu berjaya mencipta sejarah apabila menjadi antara drama teater diminati sepanjang 2013.

Malah, menurut Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Muhamed Juhari Shaarani, kutipan tiketnya mengatasi Badai Semalam.
Previous Post Next Post