Keikhlasan dan kerja keras pelakon dan pelawak popular, Didie Alias selama ini ternyata berbaloi kerana namanya terus bertahan di persada hiburan tempatan sampai sekarang.
Bukan saja duduk sebaris dengan artis popular sedia ada, pemilik nama sebenar, Fadzilah Mohammed Ali, 41, juga tidak menang tangan memenuhi undangan persembahan dan lakonan, sejak kembali aktif dalam bidang hiburan, kira-kira tujuh tahun lalu.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan rezeki yang tidak pernah putus diterima ketika ini. Saya anggap semuanya adalah rezeki anak-anak yang juga sumber kekuatan selama ini.
“Terus terang, saya bekerja keras selama ini pun sebab untuk memberi anak-anak hidup selesa, sekali gus memberikan pendidikan yang terbaik pada mereka.
“Selain berkat doa ahli keluarga, ia juga kerana sokongan padu daripada peminat yang tidak pernah jemu memberi sokongan pada saya selama ini. Tanpa peminat siapalah artis itu?” katanya.
Tidak cukup dengan itu, kata Didie yang kini mengandung lebih tiga bulan mengakui pengarah dan produser masih beri kepercayaan padanya untuk memegang watak utama dalam drama.
“Jika dulu, saya hanya layak memegang watak pembantu termasuk watak orang gaji saja dalam drama. Kini, ia sebaliknya pula. Pengarah sudah mula memberi menawarkan saya beraksi watak utama dalam drama pula.
“Saya masih berlakon seperti biasa, tetapi hanya memilih watak yang sesuai dengan keadaan diri yang sudah berbadan dua ini.
Saya juga baru selesai menjalani penggambaran telefilem Bibik Nak Kahwin dan drama seram, Patung untuk saluran Astro,” katanya.
Terbaru, kata pelakon yang mendapat jolokan ‘Lady Gaga Malaysia’, dia dapat tawaran berlakon dengan pengarah terkenal yang juga idolanya dalam bidang seni, Kabir Bhatia.
“Sudah lama saya impi untuk berlakon di bawah arahannya dan baru sekarang ia kesampaian,” katanya.
Didie ditemui pada majlis pengumuman ‘Top 5’ Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 (ABPBH 2013) di Hotel Royale Chulan di sini, baru-baru ini. Pelakon itu turut dicalonkan menerusi kategori Artis Komedi Wanita Popular pada acara yang bakal berlangsung 6 April depan di Arena of Stars, Genting Highlands.
Dalam kategori itu, Didie yang pernah mengungguli kategori Artis Lawak Wanita Paling popular, Anugerah Lawak Warna ini juga bersaing dengan Sharifah Shahira, Jihan Raja Lawak, Noorkhiriah dan Siti Chubby.
“Kalah atau menang soal kedua kerana yang penting, saya ingin sama-sama memberi sokongan pada acara berprestij ini saban tahun. Saya juga serahkan pada penilaian peminat untuk mengundi siapakah artis yang menjadi pilihan mereka,” katanya.
Suami layan Didie bagai ‘puteri’
Berita Didie mengandung lagi ternyata cukup menggembirakan seluruh ahli keluarganya. Orang yang paling gembira sudah pastilah suaminya, Norisham Ismail dan anak-anaknya.
“Saya juga tidak sangka akan mengandung lagi pada usia sekarang. Maklumlah, memang ada risikonya bila mengandung pada usia 40-an ini. Namun, setakat ini keadaan kesihatan saya dan anak dalam kandungan sihat. Berat badan juga bertambah sebanyak 58 kilogram sekarang.
“Suami juga memang tidak benarkan saya melakukan kerja berat sejak mengandung. Dia juga melayan saya di rumah seperti ‘puteri’ termasuklah memicit kaki saya yang letih bila balik dari lokasi. Pada masa sama, saya juga pastikan sentiasa menjaga pemakanan dan mengambil vitamin dengan mengikut nasihat doktor,” katanya.
Mengenai soal jantina pula, kata Didie, jika nak diikutkan suaminya teringin untuk mendapat anak lelaki, sekali gus melengkapkan keluarga bahagia mereka.
“Saya pula tidak kisah soal jantina kerana yang penting anak yang dilahirkan itu sihat dan cukup sifatnya,” katanya.
Didie dan suaminya, Norisham berkahwin pada Mei 2009. Sebelum ini, pelakon era 80-an itu pernah berkahwin dengan aktor, Ridzuan Hashim dan mempunyai lima anak hasil perkahwinan itu iaitu Nur Dania, 20, Muhammad Danial, 19, Nur Dinie, 17, Nur Danie, 15 dan Nur Diana, 14.