Idea bermula menerusi video rakaman dan gambar-gambar yang diambil ketika melalui proses kehamilan, sehigga putera sulung mereka, Noah Ismail Wong selamat dilahirkan.
Rentetan itu muncul program Selebriti Materniti: Yasmin Hani terbitan Blublack production milik suami pengacara Yasmin, Sha’rin.
“ Saya memang suka ambil gambar…Pada asalnya untuk suka-suka dan ditunjukkan kepada Noah apabila dia dewasa nanti, tetapi selepas itu saya dan suami merasakan footage yang diambil semasa proses itu sangat menarik untuk dipertontonkan serta dikongsi bersama bakal ibu.
“Ibu-ibu yang baru pertama kali hamil pasti akan tercari-cari maklumat untuk menjaga kandungan dan persediaan sebelum melahirkan, jadi saya fikir kenapa tidak saya kongsikan sahaja maklumat yang ada dalam simpanan ini dengan semua.
“Selebriti Materniti: Yasmin Hani ada banyak tips dan pengetahuan penting untuk bakal ibu di luar sana,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pra-Tonton dan Sidang Media program itu di TGV One Utama baru-baru ini.
Program itu bakal bersiaran pada 3 Februari depan pada setiap hari Isnin. Ia memaparkan pengalaman Yasmin dan suaminya, Sha'arin Razali menyambut kelahiran anak sulung mereka, Noah Ismail Wong, yang kini sudah berusia tiga bulan.
Selain itu, Yasmin mengulas program yang mempunyai 4 episod itu merupakan lebih kurang 90 peratus mengenai proses kehamilannya sehinggalah melahirkan Noah yang telah diringkaskan dalam bentuk dokumentari.
“Saya tahu pengalaman hamil setiap wanita berbeza-beza, jadi kita sukar untuk bertanyakan kepada orang lain kerana sumber mereka mungkin tidak sesuai dengan kita.
“Jadi dalam rancangan ini kami bukan sahaja berkongsi pengalaman mengandung saya sendiri dari ‘baby shower’ hingga saat di bilik bersalin, majlis cukur dan akikah tetapi banyak informasi tambahan yang berguna diberikan sebagai rujukan,” jelasnya lagi.
Selebriti Materniti, Yasmin Hani akan disiarkan secara eksklusif di saluran Maya HD pada pukul 9.30 malam bermula 3 Februari ini.