Aisyah Takut diculik?



AISYAH berazam untuk men jadi seorang penyanyi yang disegani ramai.

TIDAK keterlaluan jika dikatakan dunia nyanyian lagu-lagu Melayu yang cuma sekangkang kera di Singapura menyebabkan ramai penyanyi dari negara itu berhijrah ke ke sini untuk mengembangkan lagi kerjaya mereka menerusi bidang glamor tersebut.

Aisyah Aziz antara penyanyi muda dari Singapura yang berkeyakinan terhadap industri seni suara di negara ini yang mempunyai pasaran luas dalam mengangkat lagu-lagu Melayu berbanding perkembangan di Singapura yang seakan-akan telah pupus.

Justeru, tidak hairanlah penyanyi yang berusia 20 tahun ini sanggup berjauhan dengan keluarganya di Bukit Panjang, Singapura hanya kerana mahu mencipta nama sebagai penyanyi seperti abangnya, Aliff Aziz, 23, yang terlebih dahulu telah berhijrah ke negara ini.

Menurut Aisyah, dia sanggup menanggung rindu berjauhan dengan ibu, ayah, adik, nenek dan saudara-maranya di sana, namun tidak boleh pula menyembunyikan rasa kebimbangan di hati tentang keselamatan dirinya di sini.

Justeru, penyanyi bertubuh tinggi lampai ini begitu bergantung harap kepada Aliff yang juga anak sulung serta ibu bapanya agar sentiasa memberi sokongan dan semangat kepadanya dalam mengharungi apa juga cabaran yang mendatang sewaktu berada di rantau orang.





“Ibu dan bapa saya memang selalu risaukan saya kerana tinggal berjauhan daripada mereka. Maklumlah, saya ini anak perempuan dan tinggal jauh pula. Bapa adalah orang yang paling risaukan tentang keselamatan saya.

“Dia takut saya kena culiklah atau saya kena kacau oranglah dan macam-macam lagi. Sebab itu, sejak saya berpindah dari Singapura dan tinggal di sebuah kondominium bersama abang, setiap malam dalam pukul 11 malam ayah tidak pernah lupa menelefon saya di sini.

“Adakalanya dia (ayah) menghubungi saya sebanyak tujuh kali dalam sehari. Selepas dengar suara saya dan tahu saya berada di mana baharulah dia puas hati," cerita Aisyah kepada Hits selepas sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.

Dia yang telah menetap bersama Aliff di sebuah kondominium di Damansara Perdana, Petaling Jaya, sejak kira-kira tiga minggu lalu tidak menjadikan jarak sebagai penghalang, sebaliknya dia banyak menggunakan kemudahan teknologi yang ada bagi merapatkan hubungan itu.

Sebab itu, tidak hairanlah Aisyah saling berhubungan dengan ibu bapa dan keluarganya pada setiap hari bagi mengikuti perkembangan masing-masing, sekali gus mampu mengurangkan kerisauan mereka terhadapnya.

“Saya bukan sahaja menerima panggilan daripada bapa dan ibu setiap hari tetapi saya juga menggunakan laman sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter bagi berhubungan dengan mereka. Cara itu memudahkan serta merapatkan lagi hubungan kami sekeluarga.

“Malah, biasanya dalam seminggu sekali atau dua minggu sekali ibu, bapa dan adik saya akan datang melawat kami di Damansara Perdana. Kami banyak menghabiskan masa bersama-sama sepanjang hujung minggu itu," ujarnya.

Abang ambil berat

Sepanjang tinggal berdua dengan Aliff di Damansara Perdana, Aisyah bukan sahaja berasa selesa dan selamat tetapi pada masa sama kerisauan ibu bapanya juga dapat dikurangkan kerana abangnya itu seorang yang amat mengambil berat tentang dirinya.

Ini kerana, sepanjang berada di sini abangnya itu telah banyak menjaga keselamatannya, selain pada masa sama turut memberi tunjuk ajar dalam bidang nyanyian agar mereka sama-sama berjaya dalam bidang kerjaya tersebut.

“Saya jarang keluar rumah kalau tidak ada urusan. Kalau keluar rumah pun saya akan keluar dengan abang. Kami pula jarang memasak di rumah, jadi kalau makan di luar pun kami akan makan bersama-sama. Sampaikan ada orang ingat saya ini girlfriends (teman wanita) abang.

“Kalau abang hendak lepak dengan kawan-kawannya sampai tengah malam, dia akan hantar saya balik rumah dulu. Tetapi ada juga masanya kami keluar berkaraoke bersama-sama di luar. Ini boleh bantu kami berlatih menyanyi.

“Semua itu tidak ada masalah kerana kami juga menjadikan bidang nyanyian sebagai satu matlamat bersama mengapa kami berada di sini dan berjauhan dengan keluarga. Abang memang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya dalam bidang nyanyian," jelasnya.

Aisyah yang baharu tampil dengan album single pertamanya berjudul Mimpi hasil sentuhan karya Faizal Tahir dan Omar K menganggap produk itu sebagai taruhan awalnya bagi mengembangkan bakatnya dalam bidang nyanyian.

Lagu yang berkonsepkan balada dan sentimental itu telah mula disiarkan menerusi saluran-saluran radio tempatan dan Singapura, malah klip videonya pula telahpun mula ditayangkan di saluran-saluran televisyen (TV) Astro sejak beberapa minggu yang lepas.

“Album single Mimpi saya itu telah berada di pasaran sejak November tahun lepas dan diterbitkan oleh Astro Talent Management Sdn. Bhd., tidak lama selepas berakhirnya pertandingan Akademi Fantasia 2013 baru-baru ini.

“Dengan adanya album single itu, ia sebagai suatu permulaan untuk saya lebih dikenali dalam bidang nyanyian di sini. Malah dalam setiap persembahan pentas yang saya jayakan, saya akan dendangkan lagu tersebut dan secara tidak langsung lagu itu dipromosikan kepada para pendengar.

“Oleh kerana hanya ada sebuah sahaja lagu sendiri, maka saya terpaksa menyanyikan lagu-lagu penyanyi lain seperti lagu If I Ain’t Got You yang dipopularkan oleh Alicia Keys dalam setiap persembahan saya," katanya.

Meskipun bidang seni terbuka luas di negara ini, namun penyanyi bersuara lunak ini hanya mahu memfokuskan kerjayanya sebagai penyanyi sahaja dalam bidang seni. Kata Aisyah dia kurang berbakat dalam bidang lakonan dan lebih cenderung dalam dunia nyanyian.

Dia yang meminati penyanyi seperti Datuk Siti Nurhaliza, John Legend, Yuna, Christina Aguilera, Aizat dan John Mayer ini menambah, kecenderungan itu akan menjadikannya lebih fokus dalam bidang yang diceburinya itu.

“Saya bukan sahaja tidak boleh berlakon tetapi juga tidak minat berlakon. Biarlah saya fokus dalam bidang nyanyian sahaja kerana kedatangan saya ke sini adalah untuk serius menyanyi dan menjadikan bidang ini sebagai kerjaya sepenuh masa," ujarnya lagi mengakhiri perbualan.
Previous Post Next Post