Aizat Amdan pernah cecah 112kg



Mencari ruang untuk bertapak sebagai penyanyi, Aizat mencuba nasib dengan menyertai program realiti Akademi Fantasia musim kelima pada 2007. Walaupun memberi persembahan konsisten, nasib tidak menyebelahinya apabila Aizat tersingkir pada minggu ketujuh.

Ramai bersimpati dengan nasib Aizat dising­kirkan hanya kerana dia berbadan besar. Dengan berat badan 112 kilogram ketika itu, Aizat nekad menurunkan­nya dan berjaya mencapai hingga berat ideal 70 kilogram. Kini Aizat cuba mengawal berat badannya supaya tidak naik mendadak.

ARTIKEL BERKAITAN: Aizat Amdan Bahagia Dengan Zee Avi

Bernaung di bawah label sendiri, Kasi Gegar Entertainment Sdn Bhd, Aizat menghasilkan album Percubaan Pertama dan Urusan Aizat Amdan. Lagu popular ialah Hanya Kau Yang Mampu, Lagu Kita, Kau Aku, Susun Silang Kata, Sungai Lui dan Pergi.

Aizat kini mampu berbangga dengan pencapaiannya dalam bidang seni apabila menang Vokal Terbaik Dalam Lagu (Lelaki) di Anugerah Industri Muzik (AIM) 2009, Lagu Terbaik di Anugerah Juara Lagu (AJL) 2009 melalui lagu Pergi dan Persembahan Terbaik AJL 2009 (Kau Aku).




Aizat juga mencatat kejayaan di Festival Muzik Pop Antarabangsa Discovery ke-18 di Varna, Bulgaria pada 2009 untuk tempat kedua Lagu Terbaik dan Anugerah Khas Juri.

Bukan hanya bergelar penyanyi, Aizat juga penulis lirik dan komposer. Keinginannya untuk meneroka bidang muzik dengan lebih luas menyebabkan anak muda ini mengikuti kursus jangka pendek di Garnish School Of Sound, London, United Kingdom dalam bidang pengaturcaraan muzik.

Percaturan Yuna menggantikan dirinya menyampaikan lagu Terukir Di Bintang di AJL27 turut membawa tuah apabila dinobatkan juara walaupun memikul tanggungjawab itu pada saat akhir iaitu 72 jam sebelum pertandingan, menggantikan Uji Rashid.

Pada 2011, Aizat diiktiraf tokoh muda negara sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-54. Selain itu, Persatuan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik (MACP) mengiktiraf jejaka itu sebagai komposer muda berpotensi.

Walaupun bergerak solo, Aizat juga anggota kumpulan Go Gerila. Kumpulan yang turut dianggotai Anas Amdan, Amir Jahari, Ruvi, Pito dan Ashraf itu pada asalnya hanya eksperimen untuk menyertai pertandingan Versus. Namun selepas mempunyai peminat sendiri, mereka mengekal kumpulan itu.


PROFIL:

Nama sebenar: Muhammad Aizat Amdan
Tarikh lahir: 21 Januari 1989
Asal: Ampang, Kuala Lumpur
Tinggi: 176 sentimeter

- Beratnya mencecah 112 kilogram ketika menyertai Akademi Fantasia musim kelima (AF5) pada 2007

- Kali pertama menunaikan umrah ketika usia 12 tahun, kemudian bersama Noh Hujan dan Altimet pada 2012

- Menjadi peserta paling muda bersaing di Anugerah Juara Lagu ke-23 (AJL23) mempertaruhkan Lagu Kita

- Peminat kelab bola sepak Manchester United

- Berlakon dalam Istanbul Aku Datang dan meminjamkan suara untuk watak Mat dalam animasi Bola Kampung The Movie
Previous Post Next Post