Ajai Abaikan Cakap Orang



Pelbagai tohmahan dilemparkan terhadap Mohd Faizal Maas atau lebih dikenali dengan Ajai apabila dia mengakui telah berhabis RM28,000 untuk pembedahan hidungnya. Biarpun komposer ini sudah menjelaskan pembedahan hidungnya itu atas sebab kesihatan, namun ramai peminat seakan-akan tidak boleh menerima alasannya itu.

“Saya tak kisah orang nak cakap apa kerana yang penting bagi saya adalah untuk mengutamakan kesihatan. Pembedahan menukar batang hidung ini kerana masalah sinus yang saya hadapi, bukan atas tujuan kecantikan,” ujar Ajai ketika ditemui di sidang media pelancaran program Jemput Masuk, Cef! di Talent Lounge, Damansara Perdana, di sini, pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Hidung baru Ajai bernilai RM28,000!




Tambah Ajai, pembedahan sinus tersebut mengambil masa dari jam 8.00 pagi sehingga 1.30 tengahari dan dia ditahan diwad selama sebulan bagi memastikan dia pulih tanpa sebarang jangkitan. Malah, dia juga perlu menjalani pemeriksaan dalam tempoh tiga bulan selepas pembedahan.

“Sudah berbelas tahun saya menanggung masalah sinus ini. Keputusan untuk melakukan pembedahan dibuat apabila suatu pagi saya terjaga dan merasakan telinga sebelah kiri saya tidak boleh mendengar apa-apa,” ujar Ajai.

Mengulas mengenai kemunculannya sebagai pengacara di samping Chef Kamarul untuk program Jemput Masuk, Cef!, Ajai memberitahu dia tidak merasa kekok kerana bidang pengacaraan merupakan salah satu cabang seni yang ingin diterokainya. Malah, barisan artis yang dipilih sebagai jemputan merupakan sahabat yang sering bekerjasama dengannya.

“Ramai kawan-kawan saya yang terlibat. Sebab itu saya tidak merasa kekok untuk mengacara. Malah penggambaran untuk program ini juga dilakukan di rumah saya sendiri. Jadi saya rasa selesa kerana ia tidak terlalu mengikut protokol. Penonton dapat menyaksikan kemunculan Jejai (suami Fasha) dan Fathuddin (suami Liyana Jasmay) buat pertama kalinya untuk ditemubual di kaca televisyen,” ujar Ajai.
Previous Post Next Post