Alyah bergaduh dengan Erma Fatima?



Rumah siap, pahat masih berbunyi. Begitulah situasi berlaku kepada penyanyi Alyah membabitkan penyertaannya dalam Anugerah Juara Lagu ke-28 (AJL28) yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, 26 Januari lalu, menerusi lagu Kau Yang Terindah.

Timbul dakwaan bahawa penyanyi yang mula mencipta nama menerusi lagu Tak Mungkin Kerana Sayang bergaduh besar dengan pencipta lagunya, Erma Fatima yang juga pengarah profilik di belakang pentas sewaktu raptai penuh sehari sebelum AJL28 berlangsung.

Alyah dilihat menangis sebaik selesai menyanyi.

Menurut dakwaan, perkara itu berlaku kerana Alyah berasa tertekan membabitkan konsep persembahan dirancang Erma.

Penyanyi itu tidak mampu menyanyi sambil berlakon dan menari sewaktu mendendangkan Kau Yang Terindah.

Benarkah mereka bergaduh atau sekadar gimik? Untuk mendapatkan cerita sebenar, Alyah ketika dihubungi bagi mendapatkan penjelasan tidak menafikan dia menangis di belakang pentas.

Bagaimanapun, Alyah menafikan dia dan Erma berselisih faham sehingga menyebabkan dia menangis.

“Sebenarnya apa yang Erma cuba lakukan itu satu perkara baru bagi saya.

Tambah pula lagu Kau Yang Terindah adalah milik Erma sepenuhnya.

“Berbeza dengan lagu Kisah Hati sebelum ini, ia memang milik syarikat saya.




Kali ini saya tampil di AJL28 sebagai penyanyi runut bunyi drama bersiri arahan Erma menggunakan judul sama.

“Saya dan Erma tidak menjangka langsung lagu itu layak ke peringkat akhir.

Walaupun begitu, atas rasa tanggungjawab ke atas lagu dicipta, Erma mengambil inisiatif untuk menampilkan corak persembahan berbeza berbanding apa yang pernah ditampilkan di AJL sebelum ini,” katanya.

Begitupun, Alyah tidak menafikan dalam merencanakan konsep persembahan, Erma meletakkan harapan terlalu tinggi.

Tambah pula sebagai penyanyi, dia tiada pengalaman dalam dunia lakonan, apatah lagi lakonan pentas.

“Saya mengagumi kesungguhan dan usaha Erma.

Walaupun dia sibuk mengarah, masih punya masa untuk membuat rakaman dan suntingan seperti dilihat penonton di layar elektronik AJL28.

Melihat kesungguhannya, saya berasa sangat bertuah.

“Begitupun, kerana saya kurang pengalaman menyebabkan beberapa corak persembahan dirancang Erma tidak dapat dilaksanakan.

“Sepanjang proses ini dilakukan di sesi latihan dan raptai, ada yang tahu dan melihat perkara itu membuat andaian sendiri, sekali gus menyebabkan timbul cerita sedemikian,” katanya.

Alyah secara jujur menjelaskan, sebenarnya persembahan lakonan dan tarian disaksikan penonton sewaktu dia menyanyi sebenarnya aksi yang harus dia lakukan.

“Ia memang di luar kemampuan saya, tetapi Erma sangat terbuka.

Malah, selepas saya berbincang dengan pengurus, kami memutuskan untuk mengambil pelakon dan penari.

“Saya secara jujur menjelaskan tidak mahu melakukannya kerana kurang pengalaman dan tidak pandai berlakon, bimbang persembahan dirancang tidak menjadi dan itu akan menghampakan Erma,” katanya.

Jelas Alyah, Erma sebaik mungkin mendahulukan dirinya dan memastikan keadaan sewaktu menyanyi tidak tertekan.

Katanya, Erma sangat faham dan tahu dia harus fokus sewaktu menyanyi.

“Malah, perbincangan dilakukan dalam keadaan santai dan ada ketika kami gurau dan gelak.

Namun saya hairan juga bagaimana pula boleh timbul cerita kononnya saya tertekan dan menangis terus di belakang pentas.

Semua perkara itu tidak berlaku langsung,” katanya.

Kata Alyah, Erma juga sanggup datang ke stadium lebih awal bagi mengarah pelakon dan penari yang datang kemudian serta mengadakan sesi latihan selepas itu hampir jam dua pagi.

“Saya benar-benar terharu dengan kesungguhan Erma.

Walaupun kami tidak menang apa-apa pada malam itu, saya berasakan ia satu projek besar, apatah lagi saya kenal dan tahu kemampuan Erma yang memiliki ilmu besar dan luas dalam pelbagai bidang seni,” katanya.

Sementara itu, Erma menjelaskan, dia sangat kecewa apabila timbul cerita buruk mengenai pembabitan pertamanya di Anugerah Juara Lagu.

Katanya, pastinya tanggapan buruk akan lebih terarah kepadanya.

“Saya tidak tahu dari mana datangnya cerita ini, tetapi ada pihak menyampaikan kepada saya.

Itu yang saya hairan dan tentu ramai akan menuding jari kepada saya dan mengatakan saya cuba paksa Alyah, sedangkan perkara itu tidak berlaku.

“Apa disaksikan di pentas AJL28 adalah hasil perbincangan semua pihak.

Perbincangan itu juga dilakukan dengan baik dan tiada membabitkan emosi,” katanya.

Sebaik ada pihak menyampaikan perkara itu, Erma secara peribadi menghubungi Alyah bagi mendapatkan penjelasan adakah benar dia menangis di belakang pentas.

“Alyah menjelaskan kepada saya, perkara yang diperkatakan itu langsung tidak berlaku.

Cuma memang pada malam persembahan raptai itu saya meminta Alyah meneruskan corak persembahan yang dirancang awal kerana pihak penerbitan mahu mengadakan sesi latihan.

Jadi biar perubahan dibuat selepas acara selesai.

“Sebagai penerbit dan pengarah, saya tahu masalah bakal dihadapi produksi dengan perubahan dilakukan pada saat akhir.

Jadi tentu perkara itu perlu dirancang dengan teliti supaya ia tidak memberi kesan kepada pihak lain,” katanya.

Kata Erma, masalah berjaya diselesaikan apabila dia mendapat pengganti untuk lakonan dan persembahan tarian dan latihan dibuat pada siang hari sebelum AJL28 berlangsung pada sebelah malamnya.
Previous Post Next Post