Sebaik selesai Anugerah Juara Lagu ke-28 (AJL28), seorang teman memberitahu kita yang lagu Penglipurlara dendangan Hazama lagu ciplak.
Katanya, sebelum ini dia tidak pernah dengar lagu dihasilkan Omar K dan lirik Zell itu tetapi selepas menyaksikannya di AJL28, dia pernah mendengar melodinya seakan-akan sama dengan lagu dari kumpulan lama dari Eropah.
Dia siap memberi kita alamat laman sosial YouTube menampilkan lagu yang dikatakan diciplak itu.
Mahu menyelidik bagi mendapatkan pengesahan terhadap dakwaan ini, kita pun buka YouTube terbabit. Lagu asal yang dikatakan diciplak Penglipurlara itu adalah oleh Orchestral Manoeuvres In The Dark - Enola Gay.
Selepas mendengarnya, kita tidak nafikan melodinya ada persamaan tetapi tidaklah keseluruhan.
Sebelum ini kita pernah bertanya pakar membabitkan lagu yang diplagiat ini. Kata mereka, sesebuah lagu itu tidak akan dianggap diciplak jika melodi yang diambil dari satu-satu lagu itu tidak melebihi empat bar.
Berbeza jika lagu dihasilkan itu kita dengar bunyinya dari mula sampai akhir adalah sama. Lagipun ada juga lagu yang dianggap penampilan istimewa dan ia tidak dianggap sebagai diplagiat. Ia selalunya dilakukan penyanyi rap.
Kita menjelaskan perkara ini diatas penilaian yang pernah diajarkan kepada kita, tapi tidak tahulah kalau kita silap. Cuma kalau ada yang mahu merujuk bolehlah mendengarkan kedua-dua lagu itu menerusi YouTube.