PESONA yang dimiliki anak seni ini nyata mampu membuatkan ramai peminat wanita yang menggilainya.
Bukan sahaja memiliki personaliti yang menarik malah lontaran suaranya juga bakal mencairkan hati sesiapa sahaja.
Sinonim dengan persembahan Minggu Setiausaha, kali ini Anuar Zain di bawah syarikatnya bakal menganjurkan ‘Terindah...Anuar Zain’ khas buat peminatnya pada 8 April ini.
Bagi Anuar, sokongan daripada peminat adalah perkara yang terindah buat dirinya sejak bergelar seorang penyanyi dan penganjuran Minggu Setiausaha ini adalah hadiah buat mereka.
“Jika tahun lalu saya raikan penglibatan saya dalam industri hiburan tanah air dengan konsert ‘Tiga Dekad, Muzik, Cinta dan Sanubari’, tahun ini saya tampilkan ‘Terindah... Anuar Zain’.
“Sama seperti konsert lalu, kami menjanjikan persembahan kali ini bakal menjadi memori indah buat peminat yang hadir,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di Restoran Bijan, Changkat Bukit Bintang, baru-baru ini.
Mengulas mengenai harga tiket yang ditawarkan agak tinggi, namun platun Ajari Aku ini percaya ianya amat berpatutan dan mampu untuk dimiliki peminatnya.
“Walaupun kami tidak mahu menjanjikan sesuatu yang berlebihan, tapi apa yang kami cuba lakukan adalah beri yang terbaik kepada mereka yang hadir supaya apa yang mereka bayar berbaloi.
“Apa yang menjadi keutamaan kami adalah kepuasan, kebahagiaan, dan keterujaan mereka menghadiri persembahan ini,” katanya mengenai penjualan tiket yang bermula dengan harga RM480, RM680, RM980 dan RM1380.
Menganggap kelebihan kariernya sebagai satu rezeki, Anuar tidak menafikan penyanyi lain turut mampu untuk mengikuti jejak langkahnya.
“Alhamdulillah, ini rezeki saya. Sebenarnya ramai artis di Malaysia boleh lakukan perkara yang sama kerana saya lihat ramai di kalangan mereka yang berbakat.
“Namun itu semua terletak pada artis itu sendiri untuk mewarnakan perjalanan karier masing-masing. Bagi saya setiap mereka punyai potensi untuk pergi lebih jauh,” jelasnya.
Buat mereka yang berminat untuk menghadiri acara ini, bolehlah melayari laman web www.ticketcharge.com.my untuk keterangan lanjut.
Bukan kerana wang
Bercerita lanjut mengenai persembahan itu, Anuar akui ianya sebagai satu percubaan untuk mengembangkan lagi kariernya sebagai seorang anak seni.
“Memanglah ini perniagaan yang kita cuba buat, tapi ia bukanlah kerana wang semata-mata kerana pada masa yang sama, selain memberi kepuasan kepada peminat, saya juga dapat kembangkan lagi karier.
“Jadi di kesempatan ini saya harus memberi persembahan yang akan memberi kenang-kenangan yang indah buat peminat saya,” katanya.
Kali pertama menganjurkan acara Minggu Setiausaha di bawah syarikat miliknya sendiri, Anuar akui lebih bebas untuk berkarya.
“Memang sebelum ini saya banyak menjalinkan kerjasama dengan penganjur luar tapi kali ini saya ambil keputusan untuk lakukannya sendiri supaya ia lebih istimewa.
“Kepuasan penonton adalah keutamaan saya. Bila bergerak sendiri, banyak perkara yang boleh kita kawal bukan sahaja dari segi persembahan malah secara keseluruhannya untuk kepuasan peminat,” jelasnya.
Lebih istimewa, eksklusif
Menurut Anuar, perancangan untuk melaksanakan acara ini tercetus setelah konsert solonya tahun lalu mendapat sambutan yang menggalakkan.
“Sebenarnya sudah lama saya pendam idea ini memandangkan sebelum ini saya memang tidak pernah ada pengalaman menganjurkan sebarang acara.
“Tapi selepas konsert yang kita anjurkan tahun lalu mendapat sambutan yang menggalakkan, jadi saya gunakan pengalaman itu untuk realisasikan acara ini.
“Ini adalah cabaran buat kami untuk mencuba cabang baharu dalam karier saya,” katanya.
Bagi menjadikan acara ini sebagai persembahan yang eksklusif, Anuar turut memaklumkan dia juga terpaksa menolak beberapa tawaran untuk menjayakan Minggu Setiausaha yang dianjurkan syarikat lain.
“Jika fikirkan mengenai wang, banyak tawaran yang saya peroleh untuk jayakan Minggu Setiausaha di beberapa buah negeri. Tapi saya mahukan sesuatu yang istimewa untuk persembahan kali ini dan menolak semua tawaran itu.
“Memandangkan ini kali pertama saya anjurkan acara ini sendiri, jadi saya mahu ianya lebih eksklusif. Tambahan pula banyak perkara yang perlu dilakukan dan saya mahu beri fokus sepenuhnya,” katanya.