BIARPUN aksi mesra yang dipaparkan kekasihnya, Nelydia Senrose bersama pelakon, Sharnaaz Ahmad hanyalah untuk memenuhi tuntutan dalam lakonan drama semata-mata, namun pengacara, Qi Razali akui masih lagi belum menerima sepenuhnya perkara itu.
Bagaimanapun, bekas pengacara ‘Jalan-Jalan Cari Makan’ ini memaklumkan dia masih berusaha untuk menerima situasi itu.
Sebelum ini tindakan Sharnaaz memuat naik beberapa keping gambar mesra bersama Nelydia di Instagram dengan tujuan untuk mempromosikan lakonan mereka menerusi drama tayangan Astro ‘Bukan Kerana Aku Tak Cinta’ membuatkan Qi bengang sehingga meluahkan perasaan yang tidak sepatutnya terhadap Sharnaaz menerusi laman sosial Twitter miliknya.
Namun setelah menyedari perbuatannya itu melebihi batasan, Qi telah memohon maaf terhadap Sharnaaz dan kini dia cuba untuk menerima perkara itu atas alasan kerja.