Cicakman 3 penuh konflik


LISA dan Zizan memegang watak suami isteri dalam filem Cicakman 3.

SELEPAS dua filem Cicakman mendapat sambutan, KRU, Grand Brilliance dan Astro Shaw bergabung menerbitkan filem Cicakman 3 yang kini sedang rancak menjalani penggambaran.

Filem yang dijangka menemui penonton pada penghujung tahun ini mempertaruhkan Zizan Razak sebagai Cicakman menggantikan Saiful Apek untuk dua sekuel sebelum ini.

Menurut Zizan yang ditemui di set penggambaran filem itu di Segi Kolej, Kota Damansara, Selangor, dia bertuah kerana diberi kepercayaan untuk membawakan watak adiwira yang cukup besar impaknya dalam industri filem tempatan.

“Satu peluang yang saya tidak akan lepaskan. Bagaimanapun, satu tanggungjawab berat di bahu saya untuk membawakan watak Cicakman dengan cara saya sendiri.




“Sejujurnya saya memang suka bawa watak adiwira kerana ini bukan kali pertama. Sebelum ini saya pernah bawa watak adiwira dalam filem Kapoww!! dan sebuah telefilem Kubung Man,” kata Zizan.

Sedar watak Cicakman cukup sinonim dengan Saiful Apek, akui Zizan dia tidak tertekan meskipun penonton pasti membandingkan cara lakonan mereka berdua.

“Tiada tekanan untuk saya kerana penonton tidak boleh membandingkan saya dan watak Cicakman yang dilakonkan Saiful Apek.

“Filem Cicakman 3 merupakan cerita yang berbeza dan tidak ada kena mengenakan dengan dua sekuel sebelum ini,” balasnya.

Sungguhpun pernah membawakan watak adiwira sebelum ini, tegas Zizan, membawa watak Cicakman bukan sesuatu yang mudah kerana melibatkan banyak aksi lagak ngeri.

“Ada beberapa aksi lagak ngeri saya lakukan sendiri, tetapi aksi melompat dari bangunan tinggi, Yusry tidak mahu mengambil risiko dan menggunakan khidmat pelagak ngeri yang diambil dari Thailand.

“Ikutkan hati, semua saya mahu buat sendiri. Saya berani lakukan tetapi pihak produksi tidak mahu mengambil risiko sebarang kecederaan pada pelakonnya, saya terpaksa ikut,” ujarnya.

Bergandingan dengan Lisa Surihani sebagai suami isteri dalam Cicakman 3, menurut Zizan adalah sesuatu yang mudah kerana mereka saling mengenali sebelum ini.

“Lisa saya sudah kenal tetapi untuk mendapatkan keserasian di hadapan kamera hanya berlaku di set penggambaran memandangkan masing-masing sibuk untuk berjumpa.

“Alhamdulillah, walaupun pengarah merupakan suaminya sendiri, Lisa amat komited dan profesional apabila bekerja,” tutur Zizan yang memegang watak bernama Man.


PENGGAMBARAN filem Cicakman 3 kini sedang rancak berjalandi beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur.

Lisa yang memegang watak Linda menegaskan, ini kali pertama dia berlakon di bawah arahan suaminya sendiri. Walaupun rasa janggal pada mulanya, Lisa tidak sangka mereka boleh bekerja dengan baik di set penggambaran.

“Sebenarnya saya sendiri rasa sangsi sebab tidak pernah bekerja dengan suami, tetapi kami bersikap profesional dan tidak wujud sebarang masalah.

“Di set, Yusry akan panggil saya dengan nama watak bukannya sayang (ketawa). Yusry pun sangat serius ketika bekerja, jadi saya secara automatik akan jadi begitu juga,” balas Lisa.

Disoal pengalaman bekerja dengan Zizan, Lisa menjelaskan, dia cukup seronok dapat bekerja dengan pelawak yang tidak pernah berhenti membuat orang ketawa itu.

“Orang yang pernah bekerja dengan Zizan berpesan, Zizan susah untuk serius tetapi apa yang saya lihat di hadapan kamera dia cukup serius.

“Namun, selepas habis penggambaran keluar perangai gila-gilanya. Apapun saya seronok kerana setiap hari saya gembira untuk datang ke set penggambaran,” kata Lisa yang akan menyambut ulang tahun perkahwinan yang kedua pada 23 Februari ini.

Selain Lisa dan Zizan, Fizz Fairuz juga antara watak utama filem Cicakman 3. Memegang watak Inspektor Adam, Fizz berkata, dia teruja dapat terlibat dalam filem Cicakman 3.

“Saya memang sudah lama idamkan untuk terlibat dalam filem adiwira seperti ini. Watak saya terlibat dalam banyak konflik yang melibatkan perasaan.

“Apa yang boleh saya cakap memang agak meletihkan tetapi saya seronok kerana saya telah melepaskan beberapa tawaran lakonan demi watak Inspektor Adam,” kata Fizz.

Filem Cicakman 3 arahan Yusry bersama Ghaz Abu Bakar mengisahkan Man (Zizan) seorang bapa yang tidak matang menyebabkan isterinya Linda (Lisa) menuntut cerai.

Man tertekan apabila Inspektor Adam (Fizz) seorang anggota polis yang juga rakan sekolahnya cuba merampas Linda.

Kehidupan Man berubah apabila dia menemui sebuah serum milik Cicakman yang memberi kuasa luar biasa kepadanya. Man cuba belajar menjadi Cicakman yang baharu tetapi kehadirannya tidak lagi dianggap relevan di Metrofulus selepas kemunculan hero baharu, Super-Bro.
Previous Post Next Post