Shahrizal kahwini Redzwani hujung tahun ini



KES khalwat dirinya dengan seorang wanita bernama Farah Nurizzati Salleh, 21, masih lagi dalam proses perbicaraan.

Namun pelakon kacak, Mohd. Shahrizal Jaszle Jasmin, 26, atau lebih dikenali sebagai Shahrizal Jaszle tetap bertekad untuk menamatkan zaman bujangnya selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Shahrizal telah mengikat tali pertunangannya dengan Redzwani pada penghujung tahun 2012.

Namun, hubungan mereka berdua pernah goyah seketika disebabkan kes khalwat tersebut yang berlaku pada Mei tahun lalu.




Laporan akhbar sebelum ini menyebut bahawa mengikut pertuduhan kes, Shahrizal dan Farah telah ditahan Pegawai Penguat Kuasa Agama, Jabatan Agama Islam Selangor di sebuah unit kediaman di Taman Sri Subang, Selangor pada 16 Mei tahun lalu.

Farah telah mengaku bersalah di atas pertuduhan itu, sementara Shahrizal sebaliknya mengaku tidak bersalah dan telah dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM1,500.

Anak kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur itu yang ditemui pada majlis pratonton drama mini bersiri, Dendam Lima Beradik di Kuala Lumpur baru-baru ini kelihatan tenang ketika pihak media mengajukan soalan berkaitan isu berkenaan.

Ikuti temu bual Kosmo! selanjutnya bersama pelakon yang pernah membintangi filem Azura, arahan Aziz M. Osman itu.

Kosmo!: Menurut sumber, anda dikatakan bakal melangsungkan perkahwinan pada tahun ini, benarkah dakwaan itu?

SHAHRIZAL: Ya, saya akan berkahwin pada tahun ini, memandangkan tunang saya telah bersetuju. Kami bercadang akan berkahwin selewat-lewatnya akhir tahun ini, namun kami belum mendapat tarikh yang sesuai.

Sesetengah pihak mengatakan, tunang anda seorang ‘pak turut’. Apakah pandangan anda?

Mereka di luar sana tidak mengetahui apa-apa mengenai hubungan kami. Bagi saya, tunang saya itu cukup memahami dan mengerti keadaan diri saya sebenarnya. Dia juga tidak pernah jemu memberi sokongan moral kepada saya agar sentiasa tabah melalui dugaan ini.


SHAHRIZAL di samping tunangnya, Redzwani.

Adakah Shahrizal sengaja ingin mempercepatkan perkahwinan untuk meredakan konflik yang melanda anda?

Tidak, sepatutnya kami telah berkahwin pada majlis pertunangan saya dahulu. Namun, ia terhalang disebabkan tunang saya ketika itu masih lagi belajar dan akhirnya kami terpaksa menangguhkan niat tersebut dan menunggu sehingga tahun ini.

Bagaimanakah pula dengan perkembangan kes khalwat anda?

Insya-Allah, kalau tidak ada aral melintang, kes perbicaraan semula akan diadakan pada 8 April ini dan pihak pendakwa raya akan mengemukakan sembilan orang saksi. Saya berharap kes ini dapat diselesaikan secepat mungkin agar dapat membuktikan saya tidak bersalah dalam kes tersebut.

Kenapa anda tidak mengambil keputusan untuk mengaku bersalah dan lupakan segalanya memandangkan Farah sendiri telah mengaku bersalah?

Tidak, saya berpegang kepada falsafah iaitu berani kerana benar, takut kerana salah. Saya tidak takut dan saya hanya mahukan keadilan ditegakkan kerana hal ini melibatkan maruah dan peribadi saya. Sebagai artis, saya perlu membersihkan nama saya.

Adakah kes tersebut sedikit sebanyak mengganggu konsentrasi dan menjejaskan karier lakonan anda?

Sepanjang kes tersebut berlangsung, saya tidak merasakan ia mengganggu perjalanan karier saya. Malah, setakat ini tawaran lakonan yang diterima agak menggalakkan daripada pelbagai syarikat produksi.

Apakah perkembangan terbaharu dan perancangan anda pada masa akan datang?

Saya bercadang untuk menguruskan syarikat produksi sendiri, Jaszlework dengan bantuan adik saya yang baru sahaja menamatkan pengajiannya baru-baru ini. Saya juga ingin mengembangkan bakat dalam bidang pengarahan lakonan kerana ia merupakan lonjakan dalam karier saya ada masa akan datang.
Previous Post Next Post