Dato’ Siti Nurhaliza Ulas Gosip Adib



Selepas dikaitkan dengan gosip kononnya mempunyai hubungan istimewa dengan pelakon dari Brunei Darussalam, Nina Iskandar, nama anak kedua tokoh usahawan terkenal, Datuk Seri Khalid bin Mohamad Jiwa atau lebih popular dengan nama Datuk K, iaitu Adib Khalid sekali lagi terpalit dengan kontroversi apabila dikaitkan dengan pelakon Ummi Nazeera.

Gosip mula timbul apabila anak tiri kepada penyanyi tersohor negara Dato’ Siti Nurhaliza ini dilihat hadir bersama pelakon ‘Penanggal’ itu ketika konsert amal Dato’ Siti, ‘Where the Heart Is’ yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini.




Berpeluang bertemu dengan penyanyi ini ketika sidang media Minggu Setiausaha ‘Lebih Indah Bersama Dato’ Siti Nurhaliza’ di Hotel Royale Chulan, pada Khamis, digunakan GUA untuk bertanyakan kepada beliau mengenai hubungan yang terjalin antara Adib dan Ummi.

“Siti tidak berpeluang berjumpa dengan mereka ketika konsert baru-baru ini. Apa yang Siti tahu, mereka memang dah kenal lama kerana sebelum ini mereka sama-sama melanjutkan pelajaran di sebuah universiti di Melbourne, Australia. Ummi merupakan ‘senior’ kepada Adib dan mereka juga satu kumpulan ketika menuntut di sana,” jelas Siti mengulas mengenai gosip yang mengaitkan Adib.

“Pada mulanya, Adib agak terkedu apabila gosip sebegini berlaku pada dirinya. Walau bagaimanapun, dia redha apabila namanya terpalit dengan gosip. Bagi Siti, jika betul nak berkawan, tiada masalah sebab perkara ini adalah perkara biasa dan terbuka namun, belum tentu untuk kita jatuh hati,” tutur Siti mengakui sering berbual dengan anak-anaknya.

“Suami selalu berborak dan bercerita dengan anak-anak, malah jika ada sebarang permasalahan, mereka juga akan duduk berbincang. Siti juga sering berborak serta bergurau-senda dengan mereka termasuklah berkongsi pendapat jika terdapat sebarang permasalahan. Malah, berkenaan isu yang timbul, Siti selalu cakap dengan mereka yang semua ini lumrah apabila masuk dunia selebriti. Apapun, sebagai ibu bapa, kami mahu anak-anak fokus dengan bisnes dan juga kerjaya mereka terlebih dahulu,” ujar Siti mengakhiri perbualan.
Previous Post Next Post