Keith Foo Terharu Dapat Rai Kanak-Kanak Istimewa



Walaupun jadualnya padat dengan aktiviti seni, namun pelakon yang kini sedang menempa nama menerusi drama ‘Ariana Rose’, Keith Foo masih sempat meluangkan masa melawat kanak-kanak istimewa bersempena dengan kempen Mamee Prihatin anjuran Mamee-Double Decker (M) Sdn Bhd.

Pada 10 Februari lalu, Keith bersama Mamee Fun Squad telah mengadakan satu lawatan ke Pusat Jagaan Beautiful Gate yang terletak di Taman Perindustrian Puchong bagi meraikan perayaan Tahun Baru Cina bersama penghuni pusat jagaan tersebut.




Ketika ditemui, Keith melahirkan rasa bersyukur dan gembira kerana dapat meraikan perayaan Tahun Baru Cina bersama kanak-kanak istimewa ini. Tambah Keith, dia juga tidak menolak untuk terlibat dengan aktiviti-aktiviti seperti ini jika diberi kesempatan pada masa akan datang.

“Terima kasih kepada pihak Mamee kerana mempelawa saya untuk menyertai aktiviti ini. Dah lama saya ingin terlibat dengan aktiviti sebegini dan ini merupakan kali pertama saya terlibat dengan aktiviti kebajikan. Saya rasa bersyukur serta gembira sangat dapat meraikan kanak-kanak istimewa ini dan terima kasih kepada penghuni pusat ini kerana mengalu-alukan kedatangan saya,” ujar Keith kepada ARTISMELETOP.



“Apabila melihat kanak-kanak ini, membuatkan saya merasakan yang diri kita ini sangat bertuah. Apa masalah yang kita lalui tidaklah begitu perit berbanding dengan apa yang mereka harungi. Namun, mereka cekal dan tabah untuk bertarung dengan kehidupan mereka. Ia memberikan kita lebih semangat untuk meneruskan kehidupan dan saya rasa bertuah serta bersyukur kerana diberi peluang untuk bersama-sama dengan mereka,” tutur Keith.

Seramai 25 kanak-kanak dan penjaga telah diraikan dan kesemua mereka turut diceriakan dengan kehadiran maskot Mister Potato, Mamee Moster dan Corntoz. Selain menerima ‘angpow’, penghuni di situ turut gembira apabila menerima pelbagai produk Mamee-Double Decker seperti Mamee Chef, Mister Potato, Corntoz dan Mamee Monster.

“Kami begitu teruja sekali dapat bersama adik-adik di Beautiful Gate pada tahun ini bagi menyambut perayaan Tahun Baru Cina bersama-sama mereka. Diharap dengan bantuan yang tidak seberapa ini, ia dapat mengukir sedikit senyuman buat adik-adik ini. Terima kasih juga diucapkan kepada Keith Foo yang sanggup meluangkan masa memeriahkan acara ini,” ujar jurucakap Mamee Fun Squad, Tengku Azmin Tg. Azhar.
Previous Post Next Post