Nur Fathia Pengsan, Tapi Tidak Disingkirkan



Nur Fathia mengejutkan ramai pihak apabila rebah ketika sedang beraksi di pementasan teater Bidasari di Istana Budaya pada Khamis. Fathia kemudiannya dipapah keluar dari pentas oleh beberapa orang pelakon tambahan yang turut terlibat untuk teater tersebut. Apa sebenarnya yang berlaku? Jom kita dapatkan komen pengarah 'Bidasari'.

Menurut Lokman Ghani, insiden itu berlaku mungkin kerana Fathia terlalu penat dengan jadual kerja yang begitu padat. Selepas Fathia pengsan, pelakon ganti bernama Norlela tampil menggantikan Fathia yang menggalas watak Bidasari.




“Saya memang sudah bersedia dengan pelakon ganti bagi menghadapi sebarang kemungkinan seperti ini. Bukan sahaja untuk watak Fathia namun kesemua teraju utama teater ini mempunyai pelakon ganti,” ujar Lokman ketika dihubungi sebentar tadi.


Dalam masa yang sama, pengarah ini turut memuji Fathia yang tetap bersemangat untuk terus berlakon apabila dia telah meminta izin untuk kembali ke pentas pada bahagian kedua pementasan. Biarpun penat, Fathia tidak mahu menghampakan peminat-peminatnya yang hadir memberi sokongan.

“Fathia meminta untuk kembali beraksi untuk bahagian kedua teater tersebut, namun saya tidak memaksa jika kesihatannya tidak mengizinkan. Dia kata tidak mahu mengecewakan peminat yang hadir untuk menonton lakonannya semalam,” ujar Lokman lagi.

Sebelum mengakhiri perbualan, Lokman memberitahu Fathia akan membuat persembahan pada malam ini seperti biasa jika kesihatannya mengizinkan. Buat masa ini, Aiman dan Fathia masih akan menerajui teater ini, namun Lokman bersedia dengan sebarang kemungkinan mendatang.
Previous Post Next Post