Erra Fazira menjanda kali kedua



ENGKU EMRAN (kiri) dan bekas isteri, Erra Fazira keluar secara berasingan dari Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor semalam.

SHAH ALAM – Selepas setahun setengah tidak tinggal sebumbung, pelakon dan pengacara Erra Fazira akhirnya dicerai dengan talak satu oleh suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin di Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam selepas tujuh tahun mereka berumah tangga.

Lafaz cerai yang dibuat Engku Emran, 39, di hadapan Hakim Syarie Mohammad Adib Husain itu menamatkan spekulasi berhubung status rumah tangga mereka yang kerap menjadi bualan ramai.

Engku Emran, yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Bernama TV sebak ketika melafazkan cerai manakala Erra pula hanya menunjukkan reaksi tenang.

Jika ini perceraian pertama Engku Emran, berlainan pula bagi Erra kerana ia perceraian kedua selepas perkahwinannya sebelum ini dengan anggota kumpulan KRU, Yusry Abd. Halim terputus pada 10 Julai 2006.


Previous Post Next Post