Kecoh seketika sewaktu hari ketiga pementasan teater bangsawan Bidasari di Istana Budaya yang tamat pementasannya 17 Februari lalu, pelakon utamanya Fathia Latif pengsan sebaik dia masuk dan beraksi di pentas.
Berikutan peristiwa itu pelbagai cerita timbul, termasuk kononnya ada makhluk halus mengganggu dan menyerupai Fathia berlegar-legar di bilik persalinan, walaupun pelakon utama drama bersiri Ariana Rose itu tiada di Istana Budaya.
Mendengar pelbagai cerita membuatkan kita berasa tidak puas hati.
Adalah lebih baik jika kita tanya tuan punya badan, adakah benar dia dirasuk? Tambahan pula, kata penonton yang menyaksikan kejadian itu, Fathia memang nampak penat dan kurang bersemangat.
Sewaktu dihubungi, Fathia berkata, dia tidak dapat menjelaskan apa-apa memandangkan dia tidak tahu apa yang berlaku.
Cuma sebaik sedar, dia nampak beberapa kakitangan produksi berserta dua ustaz berada dalam bilik persalinan.
Sambungnya, sebagai pelakon yang gemuruh berada di atas pentas, badannya berasa seram sejuk sebelum beraksi.
Namun baginya, perkara itu normal.
Apabila sampai masanya menyanyi dan menari, dia tidak sedar apa berlaku.
Kata Fathia, menurut rakan, selepas muncul atas pentas, dia kaku sebelum rebah.
Perkara itu langsung tidak disedarinya dan ia sangat menghairankan.
Hendak kata dia kepenatan, tidak juga kerana jika benar, tentu dia akan tarik diri dari meneruskan persembahan.
Fathia mengakui susah untuknya mempercayai perkara mistik, namun ada beberapa bukti menunjukkan ia seakan-akan berlaku.
Sebagai contoh, apabila badannya ada kesan biru dan lebam sedangkan sepanjang pementasan semua gerak lasak, terutama sewaktu dipukul ibu tiri lakonan Raja Azura, mereka melakukan teknik gerak badan.
Tidak ada sekali pun berlaku kejadian dia dipukul dengan keras, tetapi berdasarkan gambar dihantar peminat, ada kesan biru di tubuhnya, termasuk lengan.
Jelas Fathia, selepas kejadian itu ada beberapa babak dan dialog diubah seperti dia tidak boleh menyebut perkataan ‘berdaulat’ namun untuk melakukannya pada saat akhir bukan mudah.
Ada ketika dia tersebut juga, mujur tiada perkara buruk berlaku.
Katanya, walaupun berlaku kejadian menyeramkan ketika percubaan pertama beraksi dalam pentas bangsawan, dia tidak patah semangat untuk terus aktif dengan dunia teater.
Apapun, kita ucapkan tahniah kepada Fathia atas kesungguhannya menjayakan Bidasari.