Filem Non-Stop Demi tugas


Liam Neeson

MELIHAT sedutannya sahaja sudah cukup menarik perhatian penulis untuk menyaksikan filem terbaru lakonan Liam Neeson, Non Stop.

Filem ini mengambil tempat dalam sebuah penerbangan antarabangsa dari New York ke London, membawa penonton melayari kisah seorang marsyal udara persekutuan Amerika Syarikat bernama Bill Marks (Neeson) menerima pesanan teks berbaur ugutan yang mengatakan seorang demi seorang penumpang akan dibunuh setiap 20 minit kecuali jika AS$150 juta dipindahkan ke satu akaun bank ketika dalam penerbangan itu.




Namun dalam usahanya mencari siapakah dalang di sebalik semua itu, akaun bank tersebut diketahui berada di bawah nama Marks dan satu bom ditemui dalam pesawat, menyebabkan Marks telah dituduh sebagai perampas.

Berjayakah Marks mendapat kembali kepercayaan penumpang selepas berita dia mahu merampas kapal terbang tersebar di dalam penerbangan?

Perang psikologi

Biarpun hanya menggunakan pesawat sebagai 90 peratus latar di dalam fi lem ini, ia tidak sedikit pun membuatkan penonton merasa bosan. Ini kerana, jika anda menonton fi lem ini, anda pasti akan turut bersama-sama Marks, mencari siapakah dalang di sebalik ugutan itu berlaku kerana ada 150 nyawa perlu diselamatkan, namun dalam masa yang sama, salah seorang daripadanya adalah suspek utama di dalam filem berkenaan.

Lebih membingungkan apabila satu persatu bukti pada mulanya menunjukkan Marks yang bersalah sehingga membuatkan penonton terasa berperang dengan psikologi apabila ada
beberapa individu yang membantu Marks turut dilihat sebagai dalang di dalam kekecohan itu.

Resah gelisah di dalam pesawat tersebut sebaik bom diketahui akan meledak dalam tempoh beberapa minit membuatkan anda juga turut sama tertanya-tanya dan mula menekaneka
siapakah yang bertanggungjawab merancang rampasan kapal terbang tersebut.

Penuh debaran

Ternyata, Jaume Collet-Serra selaku pengarah berjaya mengunci dan menarik perhatian penonton sebaik Marks menerima pesanan ringkas tersebut. Apatah lagi, dengan kehadiran seorang lagi marsyal udara yang dilihat gelisah, seolah-olah memberi penonton jawapan apabila dia juga turut sama berbalas SMS, ketika Marks menerima SMS.

Bukan sahaja pemburuan dalang, Serra juga turut menyelitkan beberapa babak mencemaskan seperti kematian juruterbang, kapal terbang melanggar awan sehingga mengakibatkan
beberapa gegaran, membuatkan ia seolah-olah berlaku, walhal penggambaran banyak dilakukan di dalam studio sahaja.

Lakonan mantap

Selain itu, lakonan mantap pelakon-pelakon yang terlibat seperti Neeson, Julianne Moore, Scoot McNairy, Michelle Dockery, dan Corey Stoll, mencantikkan lagi keseluruhan jalan cerita
Non Stop.

Permainan emosi dan karakter sendiri secara bersahaja membuatkan penonton sentiasa merasa curiga dan tertanya adakah dia menjayakan watak baik atau jahat.

Bukan itu sahaja, Serra juga turut meninggalkan mesej berguna buat penonton di mana orang yang baik dengan kita sejak awal, tidak semestinya dia turut mempunyai niat buruk
terhadap kita.

Begitu juga dengan tanggapan sesetengah orang barat yang menganggap orang Islam sebagai pengganas, Serra juga telah meninggalkan mesej bahawa umat Islam tidaklah
sekejam yang disangka.

Justeru bagi anda yang ingin mengetahui dan merasai sendiri perang psikologi di dalam filem ini, jangan lupa menyaksikan Non Stop kerana ia filem yang lain daripada lain.
Previous Post Next Post