HAMIL enam bulan, Lisdawati teruja untuk menjalani ibadah umrah buat pertama kalinya dalam keadaan sarat hamil anak ketiganya.
AGAK jarang dikaitkan dengan sebarang cerita kontroversi, kali ini nama Lisdawati kembali menjadi sebutan ramai berhubung pendedahannya tentang masalah yang melanda dirinya dengan pelakon Sharnaaz Ahmad.
Dalam laporan sebuah akhbar semalam, Lisdawati dan suaminya iaitu Fauzi Nawawi terpaksa membuat laporan polis setelah mendakwa diugut oleh Sharnaaz menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS)
Ketika dihubungi ARTISMELETOP! semalam, pelakon itu turut meluahkan rasa hairannya apabila ditempik Sharnaaz tanpa sebarang alasan munasabah ketika penggambaran drama bersiri Bukan Kerana Aku Tak Cinta.
Menurut Lisdawati, sehingga laporan polis dibuat olehnya bersama suami sejak tiga hari lalu, belum ada lagi sebarang penjelasan yang diberikan Sharnaaz atas tindakan yang dilakukannya itu.
ARTISMELETOP!: Bolehkah anda ceritakan tentang kontroversi yang berlaku dengan Sharnaaz?
LISDAWATI: Perkara ini berlaku sewaktu hari terakhir penggambaran drama bersiri Bukan Kerana Aku Tak Cinta pada 19 Februari lalu. Semuanya bermula ketika penggambaran yang membabitkan babak antara Sharnaaz dan Iqram Dinzly. Ketika itu ada babak Iqram menyergah Sharnaaz sehingga membuatkan dia terkejut sehingga babak itu tidak jadi dan terpaksa dibuat semula. Jadi, saya dan kru produksi yang ketawa dengan aksi terkejut Sharnaaz itu. Kemudian, saya lihat wajah Sharnaaz terus berubah dan dia terus datang dan menengking ke arah saya secara tiba-tiba. Ternyata tindakannya itu agak mengejutkan dan membuatkan kru yang lain terus terdiam.
Anda rasa apakah yang membuatkan Sharnaaz tiba-tiba menengking anda?
Sehingga kini saya tidak tahu puncanya dan masih tertanya-tanya dengan tindakan yang dilakukannya itu. Lagipun bukan saya seorang sahaja yang ketawa, malah kru produksi lain turut ketawa. Lebih menghairankan lagi selepas bertindak sedemikian, boleh pula dia bergurau dengan Nelydia Senrose. Saya pula tidak mampu berkata apa-apa dan menggigil serta beristighfar akibat ketakutan. Kalau ada sebarang perkara yang membuatkan dia berasa tidak puas hati dengan saya, sepatutnya dia datang berjumpa saya dan menjelaskan perkara sebenar. Bukannya dengan cara menengking saya di hadapan pelakon dan kru produksi lain.
Apakah yang membuatkan anda membuat laporan polis?
Selepas kejadian itu saya ada menceritakan perkara tersebut kepada suami. Kemudian suami ada menghubungi Sharnaaz menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan penjelasan tentang tindakannya menengking saya.
Bagaimanapun, laporan polis terpaksa dibuat pada 22 Februari lalu setelah Sharnaaz menghantar SMS berbaur ugutan dan ia terpaksa dilakukan demi keselamatan keluarga setelah berbincang dengan suami.
LISDAWATI masih bingung memikirkan tindakan kasar Sharnaaz terhadap dirinya.
Dengarnya anda akan ke Mekah pada 28 Februari ini. Apakah yang membuatkan anda berhasrat menunaikan ibadah umrah buat kali ketiga?
Sebenarnya ia langsung tidak dirancang sama sekali kerana pemergian saya pada kali ini atas ajakan rakan baik saya iaitu Lana Nodin. Pemergian kali ini juga selain untuk melakukan ibadah, saya juga ingin menemani rakan saya itu. Sebelum ini dia pernah menyatakan hasrat untuk menjejakkan kaki di kota Mekah pada tahun 2012. Ketika pergi ke sana pada dua tahun lalu, saya berdoa agar hasrat Lana tercapai.
Adakah anda tidak risau apabila pergi ke sana dalam keadaan sarat hamil?
Tiada apa yang perlu dirisaukan kerana saya serah semuanya kepada Allah. Lagipun pemergian saya ke sana turut ditemani suami, malah dia langsung tidak menghalang saya menunaikan ibadah umrah lagi. Berkenaan dengan keadaan kesihatan pula, saya sudah mendapat nasihat daripada doktor dan diberitahu kandungan saya ini berada dalam keadaan sihat. Usia kandungan saya pun baru sahaja masuk enam bulan dan tidak mendatangkan sebarang risiko yang besar.
Berkenaan hubungan anda dengan Lana, adakah dia merupakan rakan anda yang paling rapat sekarang?
Kami mula saling mengenali ketika sama-sama berlakon dalam drama bersiri Takdir Qismah pada tahun 2012 dan sejak itu hubungan kami mula akrab sehinggalah ke hari ini.
Apakah yang membuatkan anda selesa berkawan dengan Lana?
Saya senang berkawan dengan Lana kerana dia begitu faham dengan status saya sebagai seorang isteri dan ibu kepada dua orang anak. Misalnya, kalau saya ingin meluangkan masa bersama keluarga, kami tidak akan berjumpa dan dia akan menghubungi saya sekiranya ada perkara penting yang ingin diceritakan.
Adakah anda sudah mula berehat seketika daripada aktiviti lakonan memandangkan keadaan anda yang sedang sarat hamil?
Selagi ada tawaran lakonan yang diberikan, saya akan menerimanya dan tiada terfikir untuk berehat. Sebagai pelakon sudah tentu ini sahaja satu-satunya punca rezeki saya sekarang. Perkara ini sudah saya bincang bersama suami dan dia tidak menghalang, asalkan watak yang diberikan sesuai dengan keadaan saya. Apabila anak semakin bertambah, pastinya perbelanjaan harian juga semakin meningkat.