Sejoli Misi sabotaj mantan kekasih


SEJOLI cuba memasukkan elemen sukan muay thai sebagai pelengkap cerita.

Naskhah ketujuh filem arahan Osman Ali, Sejoli bersifat komedi romantik yang boleh diterima akal. Ada ketika penonton ditampar dialog menusuk kalbu hingga bergenang air mata dan ada ketikanya dihidangkan humor pecah perut.

Cun boleh dianggap pertaruhan sulung pengarah itu melahirkan cerita berkisar romantik komedi. Untuk meletakkan filem Sejoli sebagai cukup rencah, rasanya Cun masih mengisi setiap ruang dan kualiti sebuah filem bergenre sedemikian.

Permulaan Sejoli adalah pengakhiran kisah cinta antara dua pasangan iaitu Joe (Bront Palarae) dan Nita (Izara Aishah) serta Gina (Maya Karin) dan Hardy (Remy Ishak) yang berpisah atas kehendak masing-masing.




Joe dan Gina bertemu di Phuket, Thailand setelah membawa diri akibat ditinggalkan kekasih, namun selepas beberapa insiden mereka mendapati bahawa mantan kekasih mereka, Hardy dan Nita pula sedang bercinta.

Sejoli mempersembahkan dua lapisan masyarakat yang disatukan atas dasar cinta. Joe dan Gina mewakili golongan sederhana sementara Hardy dan Nita dipertontonkan selaku kasta masyarakat kelas tinggi.

Helah demi helah dilakukan Joe dan Gina untuk merebut semula bekas kekasih mereka yang merancang untuk berkahwin. Usaha untuk mensabotaj itu akhirnya membuahkan kejayaan apabila Hardy dan Nita memilih untuk kembali semula kepada mereka.

Kasar sebenarnya langkah yang diambil oleh Gina dan Joe yang sanggup berkomplot dengan seorang penari, Monica Belacak (Suhaili Micheline Ahmad Kamil) untuk menggoda Hardy sampai memutuskan pernikahannya bersama Nita.



LAKONAN Remy Ishak dan Izara Aishah dalam filem ini menampakkan kredibiliti masing-masing.

Osman berjaya memberikan perasaan teraniaya dan kasihan terhadap pasangan yang disabotaj hingga memperlihatkan Bront dan Maya pemain watak antagonis dalam filem itu.

Sebagai pelaku watak jurufoto bebas daripada golongan pertengahan, Maya masih tidak berjaya dizahirkan secara total. Masih ada pelat dan aksen orang putih daripada beberapa lontaran dialog.

Pujian harus diberikan kepada Izara Aishah yang berjaya melakonkan watak Nita yang gedik tapi tidak menjengkelkan cuma, corak tutur kata pelakon paling ‘hijau’ dalam filem itu masih stereotaip seperti lakonannya dalam drama.

Azad Jasmin dan Dira Abu Zahar masing-masing melakonkan watak Tompy (pembantu bengkel cuci kereta milik Joe) dan Lola (perancang perkahwinan merangkap sepupu Gina) berjaya mencuit hati penonton.

Loghat Pulau Pinang Azad sememangnya melucukan manakala lakonan bersahaja Dira harus diakui kelakar. Dalam rasa serba salah bersekongkol membantu Joe dan Gina, Tompy dan Lola adalah penyeri Sejoli sebenarnya.

Sejoli mengangkat tema kepercayaan, persefahaman dan pada masa sama mengisahkan cinta yang tidak disengajakan. Ada masanya cinta tidak boleh dipaksa-paksa, begitu juga takdir dan persoalan jodoh yang tidak boleh diubah.
Previous Post Next Post