Wulan rindu Malaysia



NAMA Wulan Guritno barangkali bukan asing bagi mereka yang setia mengikuti Maharaja Lawak Mega 2012 (MLM).

Dek kerana program itu juga, nama Wulan menjadi terkenal di Malaysia, biarpun sebelum itu namanya tidak dikenali di sini.

Kini, Wulan kembali mewarnai pentas seni tempatan dengan membintangi filem terbaharu, Permata Hati terbitan Datuk Seri Shah Rezza.

Berpeluang berbual dengan pelakon terkenal Indonesia ini, Wulan mengakui dia amat merindui peminat-peminat di Malaysia dan sanggup datang ke sini biarpun jadual di Indonesia agak padat, apatah lagi dia kini sedang terlibat dengan penggambaran filem.

"Sebab pertama saya datang ke sini adalah sebagai menghormati hasil kerja Datuk Seri Shah Rezza. Keduanya kerana rindukan Malaysia terutamanya peminat di sini.




"Ketika penggambaran filem Permata Hati, saya tidak berpeluang datang ke Malaysia kerana penggambaran dilakukan di Jakarta. Saya akui agak rindu untuk bertemu dengan peminat di sini dan saya dapat tahu ada juga peminat yang merindui kehadiran saya.

"Biarpun sibuk, saya senang dapat ke sini kerana saya berpeluang untuk berehat dan tidur dengan lebih lama. Kalau di Jakarta, jadual kerja saya agak padat, lebih-lebih lagi penggambaran sinetron diadakan setiap hari dan waktu rehat sangat sedikit," katanya.

Wulan berkata, bagi memastikan dia dapat bertemu peminat dengan lebih kerap, dia berhasrat untuk bekerjasama lagi dengan produksi Malaysia selepas ini.

"Permata Hati adalah filem pertama lakonan saya di bawah produksi Malaysia. Saya harap, selepas ini saya dapat lagi bekerjasama dengan produksi dari Malaysia.

"Saya ada terfikir untuk mengajak artis di sini membuat filem di Indonesia. Atau pun melibatkan kerjasama antara artis Malaysia dan Indonesia, jadi bila ditayangkan di sini dan Indonesia, keuntungan itu lebih.

"Namun itu bergantung pada masa kerana jadual saya memang agak padat sekarang," katanya yang merindui untuk mendekati peminat di sini seperti yang dilakukan dalam program MLM.

Di dalam Permata Hati, Wulan memegang watak sebagai Sandra iaitu ibu tunggal yang mempunyai seorang anak luar nikah hasil hubungan sulit dengan suami orang.
Previous Post Next Post