AC Mizal
AC Mizal kecewa karyawan menang trofi pandang remeh penghargaan peminat
Terbit rasa kecewa dalam diri apabila melihat segelintir artis seolah-olah tidak menghargai anugerah yang diberi peminat kepada mereka. Biarpun penghargaan yang diterima tidaklah segah pingat atau penganugerahan pembesar negara, namun bagi Datuk AC Mizal, ia tetap suatu penghormatan.
Rasa terkilan itu diluahkan AC Mizal selepas melihat artis yang pernah memenangi anugerah, enggan menyatakan penghargaan mereka terhadap pengiktirafan diterima ketika berdepan peminat dalam majlis atau acara seni.
Jika di Hollywood, artis membawa gelaran kemenangan mereka itu ke mana saja dan berbangga dengannya kerana ia menunjukkan status mereka." AC Mizal, Pengacara
Seolah-olah tidak menghargai ‘hadiah’ peminat, AC Mizal mahu artis tempatan mencontohi artis Hollywood yang sentiasa menghargai anugerah yang diberi kepada mereka.
“Usah tunggu mendapat pingat membawa gelaran ‘Datuk’ baru hendak menggunakan gelaran itu. Sebenarnya, bagi saya, setiap anugerah yang diterima adalah suatu gelaran. Ia penghormatan daripada peminat atas bakat dan usaha keras kita sebagai artis.
“Sebenarnya, kemenangan atau gelaran yang diterima besar maknanya dan menunjukkan tahap kita dalam bidang seni. Jika di Hollywood, artis membawa gelaran kemenangan mereka itu ke mana saja dan berbangga dengannya kerana ia menunjukkan status mereka,” katanya.
Tak harap kemenangan
Masih tercalon dalam kategori Pengacara TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) selama enam tahun, AC Mizal tidak pernah mengharapkan kemenangan.
Sebaliknya, beliau bersyukur masih ada peminat menghargai bakatnya.
Mahu menjadikan bidang pengacaraan sebagai kerjaya terakhir selepas bergelar pelakon dan penyanyi, AC Mizal yang ditemui pada program Magis Alam ABPBH 2013 di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di Kepong, mengaku sudah puas meneroka bidang seni.
“Bagi saya, tiada istilah orang lama atau baharu dalam industri. Walaupun saya sudah lama dalam industri, tetapi, masih baru dalam bidang pengacaraan. Jika dicalonkan dalam anugerah, itu bermakna peminat masih mahukan kita walaupun tidak meraih sebarang anugerah.
“ABPBH adalah anugerah yang berprestij dan trofi diterima adalah penghargaan besar yang patut dibanggakan. Anugerah inilah yang merapatkan hubungan artis dengan peminat sehingga tercetusnya kelab peminat. Saya juga ada kelab peminat,” katanya.
Akui kelebihan pencabar
Selain banyak mengacarakan program TV, kerjasamanya dengan Mawi dalam lagu, Al-Haq memberi kelebihan kepadanya untuk berada dalam senarai lima teratas ABPBH 2013.
Biarpun tanpa Datuk Aznil Nawawi yang menguasai kategori itu selama lapan tahun berturut-turut, bagi AC Mizal, calon lain tetap menjadi pencabarnya. Tidak meletakkan harapan, pengacara berusia 43 tahun ini berkata, kejayaan menembusi calon Top 5 sudah cukup menggembirakannya.
“Setiap tahun ABPBH tampil dengan kelainan. Tema kali ini membawa artis dekat dengan alam sekitar. Itu menjadikan ABPBH anugerah berprestij dan sentiasa menjadi perhatian ramai. Pada masa sama, ia mencuri tumpuan peminat seni,” katanya.