KAMI masih pasangan kekasih. Itu penegasan Adira berhubung dakwaan mengatakan dia sudah putus cinta dengan Presiden Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia, Shahrul Nasrun Kamarudin baru-baru ini.
Bahkan penyanyi berusia 24 tahun ini turut menegaskan bahawa hubungan mereka berjalan seperti biasa biarpun ada yang mengatakan hubungan mereka retak gara-gara pelakon Lana Nordin.
Pun begitu seperti kebanyakan pasangan kekasih lain Adira mengakui kadangkala wujud perselisihan faham di antara mereka.
Biasalah orang bercinta. Memang ada pasang surutnya tapi apa yang penting adalah kesefahaman antara kedua-dua pasangan," katanya kepada Pancaindera petang Khamis lalu.
Mengelak berbicara lanjut tentang dugaan cintanya itu Adira turut kesal apabila hubungan cintanya itu menjadi spekulasi setelah dia bertindak memadam gambar bersama Shahrul di laman Instagram baru-baru ini.
Malah kata Adira dia sengaja melakukan perkara itu bagi mengelakkan fitnah dek terlalu banyak gambar mereka bersama-sama di akaun laman sosialnya itu.
Tidak mahu disalahertikan di kemudian hari andai hubungan cinta itu menemui noktah kata Adira, itu adalah penyelesaian yang terbaik buat dirinya.
Sekarang ini pun ramai yang mengata macam-macam. Saya tidak marah sebab saya yang cipta masalah dengan meletakkan gambar kami berdua di Instagram sendiri.
Jadi apabila dihentam, saya tak bising dan kena terima dengan hati terbuka. Biarpun ada kata-kata tajam tapi saya nak buat macam mana, biarlah orang nak kata apa pun," katanya lagi.
Mengulas tentang perancangan untuk melanjutkan hubungan cinta ke peringkat lebih serius kata Adira, perkara itu perlu diajukan kepada kekasihnya.
Sebagai wanita biasa tidak wajar baginya untuk bersuara lantang berhubung perkara tersebut kerana khuatir dipandang serong oleh masyarakat.
Katanya, Kena tanya Shahrul".
Pancaindera kemudiannya mendapatkan kenyataan daripada Shahrul berhubung perkara tersebut. Seperti dijangka, lelaki berusia 28 ini memberi jawapan selamat.
Nanti dulu... tak boleh komen apa-apa lagi," katanya ketika ditanya tentang perancangan untuk mendirikan rumah tangga dengan Adira.
Hujung tahun lalu, Adira didakwa pernah berkongsi tentang perancangan perkahwinannya dengan Shahrul. Bagaimanapun dia enggan mengulas lanjut kerana perkara itu masih terlalu awal.
Bukan playgirl
MENGAKUI semkin arif dengan asam garam dunia hiburan sementelah sudah bertapak sejak empat tahun lalu kata Adira, dia juga tidak terlepas dilanda kontroversi.
Pun begitu kebanyakan cerita kontroversi membabitkan Adira membabitkan soal cintanya kerana dilihat kerap bertukar teman lelaki sehingga dilabel playgirl. Adira bagaimanapun menolak sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.
Apa yang orang nampak sekarang ini adalah saya ini ada ramai lelaki tapi mereka tak tahu hubungan itu macam mana. Jadi tidak adillah kalau saya dilabel begitu. Saya pun manusia biasa," tegasnya.
Sengaja mengusik Adira tentang kriteria lelaki yang menjadikan idaman, dia tidak mempunyai ciri-ciri tertentu bahkan lebih terpikat dengan hati budi dan sikap saling menghormati.
Menolak untuk mengejar lelaki yang kaya dan berpengaruh untuk dijadikan pasangan hidup kata Adira, dia percaya tentang kemampuan dirinya untuk sukses seperti demikian.
Soal jodoh dan rezeki sukar untuk dijangka. Kadangkala saya risau jika apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan. Apa pun berdoa sajalah," katanya lagi.