Aliff Aziz kesal rancang kahwin Anne Ngasri


Aliff Aziz tinggi lampai ini turut mengulas tentang spekulasi bersama wanita cantik bernama Shazleen.

JIKA tidak mengenal penderitaan, maka kita tidak akan berasa teruja untuk bergerak maju. Ini yang berlaku kepada penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz.

Buat pertama kalinya penyanyi berusia 23 tahun itu mendedahkan, dia menyesal kerana merancang untuk berkahwin dengan pelakon Anne Ngasri pada usia 21 tahun, dua tahun lalu.

Bukan sahaja mengalami penderitaan, malah hidupnya tidak keruan selama empat bulan gara-gara mencintai wanita itu dengan sepenuh jiwa raganya.




“Saya menyesal kerana mengambil tindakan untuk berkahwin pada umur 21 tahun. Sebabnya kesakitan yang saya rasai hampir memusnahkan seluruh hidup saya. Bukan sahaja karier tetapi juga moral, mental dan fizikal saya hampir musnah.

“Ia kerana saya beri seluruh jiwa raga pada hubungan itu (hubungan dia dengan Anne dua tahun lalu). Sampai ke tahap hendak bernikah. Selama empat bulan saya ambil masa untuk bangkit semula.

“Bagaimanapun, perkara ini menjadi pengajaran buat saya untuk tidak memberi 100 peratus jiwa raga kepada pasangan,” luahnya ketika ditemui di sesi penggambaran drama Jodoh 2 di Subang Jaya baru-baru ini.

Perit yang dirasai, membuatkan Aliff mencipta sebuah lagu yang menceritakan perjalanan hidupnya itu.

Lagu mengenai Anne

Lagu Hati Ini yang bakal dimuatkan dalam album keempatnya menjelang Jun nanti akan mengisahkan tentang seorang wanita yang bakal berkahwin dengan seorang lelaki. Sudah mempunyai tarikh kahwin tetapi akhirnya wanita itu mengambil keputusan untuk berkahwin dengan orang lain.

“Sekarang saya hanya ingin menaikkan kembali karier nyanyian dan imej diri. Apa yang terjadi pada saya mungkin hukum karma pada perbuatan saya sebelum itu tetapi saya tidak akan buat perkara yang sama pada wanita lain. Sebabnya saya faham perasaan orang yang disakiti,” ungkapnya yang membawakan watak Syed Azmi, seorang pemuda baik dan pandai masak dalam cubaannya memikat hati wanita dalam drama Jodoh 2.

Berkongsi perasaan terujanya, kata Aliff, selepas drama Jodoh 2 yang turut menampilkan pelakon Hanis Zalikha, dia akan berehat dalam bidang lakonan untuk memberi tumpuan kepada bidang muzik.

“Keutamaan saya tetap pada bidang muzik. Selepas drama Jodoh 2, saya akan masuk studio untuk menyiapkan album keempat saya yang sudah tertangguh.

“Sepatutnya album ini dilancar bulan ini tetapi kerana saya ambil tawaran berlakon Jodoh 2, album ini terpaksa ditangguh dan ia akan dilancarkan pada bulan Jun nanti,” ujarnya mengenai album keempatnya yang turut mendapat sentuhan komposer Faizal Tahir, Azlan Abu Hassan dan Awi Rafael.

Bakal tampil dengan muzik dan imej lebih matang dalam album keempatnya berbanding lagu-lagu terdahulu seperti Jangan Ganggu Pacarku dan Sayang-Sayang, Aliff juga mendedahkan, tidak mahu lagi terbabit dalam isu-isu bermesra dengan wanita.

Lebih berhati-hati

Aliff akui kecewa apabila sekali lagi gambarnya bermesra dengan seorang wanita bernama Shazleen disebarkan di Internet.

“Saya tidak salahkan mana-mana pihak apabila gambar saya dengan wanita itu tersebar. Kalau saya tidak ada dalam gambar itu isu tidak akan terjadi. Saya ambil ia sebagai pengajaran. Ketepikan ia dan bergerak memandang kehadapan terutama dalam karier nyanyian,” lantunnya optimis.

Mengulas mengenai status spekulasi hubungannya dengan wanita bernama Shazleen itu, luah Aliff, dia mengenali wanita itu beberapa bulan lalu selepas ibu Shazleen memanggilnya menyanyi di sebuah majlis korporat.

“Secara tidak langsung, saya turut mengenalinya. Dia juga meminati lagu-lagu saya. Kami jadi rapat selepas beberapa kali berbual tetapi saya tidak mahu bercerita lebih lanjut mengenai gambar tersebut.

“Sebab kalau saya komen lagi banyak andaian orang nanti. Apa yang saya boleh cakap, ketika sambutan hari jadi saya itu, bukan dia seorang sahaja yang ada tetapi beberapa orang lagi rakan saya,” luahnya.

Menyesal dan mengakui tidak mahu lagi gambar-gambarnya bermesra dengan wanita tersebar di Internet, kata Aliff, selepas ini dia akan lebih berhati-hati agar tiada lagi gambar saya bersama wanita tersebar.

“Sekarang, saya tidak mahu lagi cakap pasal cinta atau wanita. Di Instagram dan Twitter saya juga tidak ada lagi gambar-gambar dengan mana-mana wanita.

“Saya tidak marah tindakan orang yang muat naik gambar itu tetapi bila sudah tersebar, saya juga yang kena jawab dengan keluarga, peminat dan media,” ujarnya yang berharap selepas ini muziknya akan ke hadapan berbanding kisah-kisah kontroversinya bersama wanita.
Previous Post Next Post