NAD ZAINAL dan Azwan dijadualkan berkahwin dalam masa terdekat ini.
BEBERAPA hari lalu, sebuah blog hiburan melaporkan menerima beberapa keping gambar pelakon genit, Nad Zainal, 24, dan kekasihnya, Azwan Kombos, 29, yang dilihat sedang menghadiri kursus perkahwinan di Masjid Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), Damansara, Kuala Lumpur.
Menerusi laporan itu juga, terdapat sekeping gambar senarai kehadiran yang memaparkan nama pelakon yang pernah popular menerusi drama Bukan Bidadari itu.
Bagaimanapun, tiada sebarang gambar atau status terkini mengenai kursus perkahwinan yang dihadiri mereka tertera di akaun Instagram peribadi milik Nad.
Sebaliknya, Azwan ada memuat naik sekeping gambar yang memaparkan dirinya memakai baju yang sama ketika menghadiri kursus tersebut pada keesokan harinya.
Ketika berpeluang berbual dengan aktres itu melalui panggilan telefon semalam, Nad tidak menafikan bahawa pasangan yang hadir ke kursus perkahwinan itu adalah dia dan Azwan. Ikuti temu bual selanjutnya antara ARTISMELETOP! dan pelakon filem Kami Histeria itu.
ARTISMELETOP!: Adakah benar Nad dan Azwan menghadiri kursus perkahwinan baru-baru ini?
NAD: Ya, saya dan Azwan telah menghadiri kursus perkahwinan yang dijalankan di sebuah masjid di Damansara, Kuala Lumpur. Kursus tersebut berlangsung selama dua hari iaitu pada 1 dan 2 Mac lalu.
Siapa yang mencadangkan untuk mengikuti kursus tersebut?
Sejujurnya, idea ini datanganya daripada kedua-dua belah pihak. Kami bersetuju untuk mengikuti kursus tersebut lebih awal.
Adakah kalian berdua telah bersedia untuk mendirikan rumah tangga?
Belum lagi. Kami menghadiri kurus tersebut bagi memudahkan perjalanan kami pada masa akan datang. Jika ada jodoh, perkara-perkara wajib seperti ini telah selamat diselesaikan. Lagipun, kami berdua tidak sibuk. Justeru, lebih baik memanfaatkan masa terluang ini untuk melakukan perkara yang berfaedah.
Jadi, Nad dan Azwan tidak bercadang untuk mengakhiri zaman bujang dalam masa terdekat ini?
Ya, kami tidak berhasrat untuk berkahwin dalam masa terdekat ini.
Apakah perkembangan terbaharu Nad?
Saya akan muncul menerusi sebuah drama bersiri berjudul Tuan Rumah Pembantu Rumah. Selain itu, telemovie lakonan saya untuk slot Cerekarama, Penantian juga bakal menemui penonton tidak lama lagi. Dalam perkembangan lain, saya akan menyertai sitkom komedi Oh My English! yang akan muncul untuk musim terbaharu.
Jika dilihat dengan gaya dan imej terkini, Nad kelihatan lebih muda daripada usia sebenar. Adakah Nad tidak takut jika tawaran berlakon akan berkurangan apabila Nad kerap melakonkan watak remaja?
Saya akui, faktor saiz badan saya sangat mempengaruhi tawaran berlakon yang saya terima. Bagaimanapun, saya berusaha untuk mengurangkan penerimaan watak-watak remaja selepas tamat proses penggambaran Oh My English! nanti.
Jadi, adakah Nad hanya akan melakonkan watak wanita matang selepas ini?
Tidak juga. Ia perlulah selari dengan jalan cerita drama atau filem tersebut. Saya tidak kisah untuk menerima watak yang mempunyai babak imbas kembali. Jika ia memerlukan saya berlakon sebagai remaja sekolah sepanjang perjalanan cerita, mungkin saya akan menolak tawaran itu.
Apakah tujuan Nad berbuat demikian?
Saya mahu dikenali sebagai pelakon serba boleh yang mampu untuk melakonkan watak-watak yang lebih matang.