HISYAM HAMID bersama keluarga bahagianya.
MULA mengukir nama melalui drama bersiri Ariana Rose, watak Harith yang digalas Hisyam Hamid ternyata meninggalkan kesan kepada penonton dek pesona yang dibawanya.
Wajah tampan dan lakonan bersahaja pantas mencuri hati banyak wanita untuk mengenali Hisyam dengan lebih dekat.
Ramai yang masih tertanya-tanya, entah dari mana Hisyam tiba-tiba sahaja muncul kerana sebelum ini, wajahnya tidak pernah muncul dalam dunia lakonan Malaysia.
Rupa-rupanya, Hisyam adalah pelakon kelahiran Singapura yang berusaha mengembangkan potensi diri selain mencari rezeki di Malaysia.
Bersua dengan Hisyam yang hadir bersama isteri tersayang merangkap pengurusnya, Rosmawati Hanafi pada Majlis Pra Kemuncak Anugerah Bintang Popular 2013 di Kuala Lumpur baru-baru ini, lelaki berusia 29 tahun itu tampak santai dan begitu mesra melayan pihak media.
Meskipun masih bertatih dalam persada seni lakonan Malaysia, tawaran yang diterima oleh pelakon tinggi lampai ini semakin meningkat setelah ramai yang mengetahui bakat dan kebolehannya.
Namun, sebagai pelakon yang masih 'hijau' di sini, Hisyam menyifatkan dia masih belum mencapai fasa selesa, apatah lagi untuk berbangga dengan peluang tawaran yang dikecapi.
"Saya kini berada dalam fasa percubaan dan meletakkan tempoh setahun untuk melihat sejauh mana peningkatan karier lakonan saya di sini.
"Walaupun mencari rezeki di sini, jiwa dan hati saya masih menyayangi Singapura kerana ia merupakan rumah pertama saya. Walau bagaimanapun, saya bercadang tinggal dan mengukuhkan karier saya di sini," ujarnya.
Bercerita mengenai permulaan perjalanan kariernya di Malaysia, beritahu Hisyam, drama Cut Amira (2011 ) gandingannya bersama pelakon Linda Hasyim membuka ruang untuknya terus menapak di sini.
"Ia merupakan sebuah drama hasil kolaborasi stesen televisyen Singapura MediaCorp dan Malaysia Asia Media Content (Astro).
"Selain drama tersebut, saya juga pernah membintangi drama Berlima Ramadhan arahan Jinggo terbitan JS Pictures Sdn. Bhd.
Tayangan drama ini dijangka ditayangkan menjelang bulan Ramadan tahun ini.
"Pada masa yang sama, saya mengambil peluang untuk berkenalan dengan penulis skrip dan pengarah di Malaysia sehinggalah saya ditawarkan membintangi Ariana Rose yang merupakan drama kedua lakonan saya di sini" jelas Hisyam mengenai profil kariernya.
Tambah Hisyam, pemilik Zeel Production Sdn. Bhd., Md. Fadzil Teh merupakan individu yang bertanggungjawab membawanya ke dunia lakonan, selain memperkenalkannya kepada sutradara Ariana Rose, Raja Ahmad Alauddin.
Hisyam mengakui, kesibukan kerjaya seninya telah menyebabkan dia tidak mampu untuk mengurus jadual kerjanya, berbanding di Singapura.
Jadual penggambaran di Malaysia yang agak padat memaksanya untuk diuruskan seorang pengurus.
Bagi Hisham, tiada yang lebih layak dan serasi untuk dijadikan pengurus selain isterinya.
Selain dapat meluangkan masa bersama, hanya isterinya sahaja yang memahami keadaan dan kemahuannya.
"Di Singapura, kebanyakan artis di sana tidak menggunakan khidmat pengurus disebabkan jadual kerja yang tidak padat, selain tawaran berlakon yang sedikit.
"Berbanding di Malaysia, kesibukan di set penggambaran yang diadakan secara terus-menerus membuatkan saya nekad menjadikan isteri sebagai pengurus saya."
Menurut Hisyam lagi, kini dia masih lagi berulang-alik ke Singapura kerana masih lagi mempunyai baki penggambaran bersama produksi Singapura.
"Saya perlu melangsaikan baki penggambaran di Singapura selama dua bulan. Ia merupakan penggambaran terakhir di Singapura sebelum saya memberi sepenuh tumpuan di Malaysia," ujarnya.
Pegawai bomba
Sebelum terjun dalam dunia lakonan, siapa pernah menyangka lelaki kacak ini pernah berkhidmat sebagai seorang anggota bomba di Singapura sejak enam tahun lalu.
Walaupun Hisyam agak berat untuk meninggalkan kerjayanya sebagai seorang anggota bomba tetapi disebabkan ingin perubahan terhadap hidupnya, dia nekad mengambil keputusan untuk bergelar seorang pelakon.
"Saya agak berat untuk meninggalkan kerjaya bomba memandangkan ia merupakan kerjaya yang stabil dan kukuh. Namun, saya rasa risiko diperlukan untuk menjadi seorang yang berjaya.
"Saya berani mengambil risiko kerana saya tahu potensi diri dan saya rasa tak salah kalau kita tonjolkan bakat dan gunakan dengan sebaiknya," katanya.
Bercerita mengenai pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang kariernya sebagai anggota bomba, ujar Hisyam, dia amat sedih apabila menerima satu panggilan berkaitan penemuan mayat warga tua yang terbiar.
"Kebanyakan warga tua di Singapura tinggal bersendirian disebabkan anak mereka sibuk bekerja dan tidak mempunyai waris.
"Saya begitu sedih apabila mendapat panggilan daripada seorang pengadu yang mengatakan bau busuk di sekitar rumahnya.
"Apabila kami memeriksa sekitar kawasan tersebut, didapati mayat seorang lelaki telah mereput dan disyaki telah meninggal dunia sejak dua minggu lalu. Perasaan sedih tersebut tidak dapat digambarkan dengan kata-kata," katanya.
Bukan klon Aaron Aziz
Mengakui banyak orang memperkatakan tentang persamaan dirinya dengan pelakon popular Aaron Aziz, tegas Hisyam, dia kurang selesa jika dibandingkan dengan hero filem KL Gangster tersebut.
Antara persamaan yang sering dibandingkan antara dia dengan Aaron termasuk sudah mendirikan rumah tangga, mempunyai dua orang anak dan iras wajah yang agak serupa.
Walaupun mempunyai tujuan dan objektif yang sama, bagaimanapun dia lebih selesa untuk dikenali sebagai Hisyam Hamid.
"Ya, ramai orang melihat saya dan dia (Aaron) sebagai orang yang sama, memandangkan latar belakang kami yang tidak jauh beza termasuk mempunyai isteri dan dua orang anak.
"Saya ingin menjadi seperti Aaron tetapi saya tidak mahu dibayangi olehnya. Setiap orang mempunyai kelebihan masing-masing.
"Saya akui Aaron merupakan seorang pelakon yang hebat dan boleh dikatakan berjaya di Malaysia. Saya juga ingin menjadi sepertinya tetapi dengan cara dan sentuhan saya sendiri," ujarnya yang menjadikan aktor berpengalaman Rosyam Nor sebagai idolanya.
Cahaya mata
Kehadiran dua cahaya mata, Nurish Syameliah, 7, dan Hayden, 5, hasil daripada lapan tahun perkahwinan Hisyam dan isteri tersayang menambahkan lagi seri rumah tangga pasangan itu.
Bagaimanapun, memandangkan Hisyam kini sedang meluaskan empayar lakonannya di Malaysia, anak-anaknya terpaksa ditinggalkan di Singapura bersama ibu mertuanya.
"Isteri saya banyak memainkan peranan dalam menjaga keluarga. Ketika saya sedang sibuk di Malaysia, isteri saya selalu berulang-alik dari Malaysia ke Singapura untuk menguruskan anak-anak dan saya.
"Saya akui pada mulanya anak saya, terutamanya Hayden, selalu menangis disebabkan saya selalu meninggalkannya dan kurang meluangkan masa bersama.
"Dia tahu kalau saya berkemas dan menggalas beg besar, saya akan pergi meninggalkan mereka untuk tempoh yang lama," katanya.
Hisyam menambah, kini anak-anaknya mampu menerima keadaan kerjanya yang tidak menentu.
Walaupun terpaksa berjauhan Hisyam selalu menghabiskan masa dengan anak-anaknya jika mempunyai masa terluang.
"Saya akan membawa anak saya ke Malaysia sekiranya mereka bercuti dan meluangkan masa bersama mereka.
"Saya harap pada masa akan datang mereka dapat menerima keadaan pekerjaan saya sebegini dan saya tidak risau sebab mereka semakin memahami," ujarnya.