Dafi Saya Tidak Gagal



Pelantun lagu "Bila Terasa Rindu", Gadaffi Ismail Sabri atau lebih mesra dengan panggilan Dafi tidak anggap percubaannya untuk mengembangkan kerjaya seni di negara seberang tahun lalu sebagai satu kegagalan. Jelasnya, dia hanya diberi tawaran dalam bidang pengacaraan bukan nyanyian.

“Saya tidak berpendapat yang percubaan saya di sana gagal kerana saya diberikan tawaran dalam bidang pengacaraan dan berlakon tetapi bukannya nyanyian. Sedikit sebanyak peluang yang diberikan membantu saya untuk membuka ruang dalam bidang seni di sana,” ujar Dafi ketika dihubungi ARTISMELETOP.




Pemuda berusia 26 tahun ini menambah yang dia tidak meneruskan kontrak di sana kerana tidak meminati bidang pengacaraan sebaliknya ingin fokus dalam nyanyian. Dia tidak ralat walaupun tidak begitu dikenali di Indonesia namun ingin terus mencuba nasib di sana.



“Walaupun hanya segelintir orang yang mengenali saya di Indonesia namun saya tidak ralat dengan perkara tersebut. Sekurang-kurangnya ia menjadi permulaan untuk saya menapak di sana dan saya berharap kerjaya saya tidak berhenti di situ saja kerana saya akan terus mencuba,” ujarnya.

Tidak terkilan walaupun ada yang menganggap percubaannya di Indonesia gagal, Dafi sudah sebati dengan mentaliti sesetengah pihak yang sering melihat dari sudut negatif dari mendoakan kebaikan kepada anak bangsa sendiri.

“Kalau ada yang rasa saya gagal, saya tidak kecil hati kerana setelah tujuh tahun berkecimpung dalam bidang ini, saya sudah membiasakan diri dengan mentaliti orang kita yang selalu memandang benda dari sudut negatif. Namun tidak dinafikan ada juga yang bersifat positif serta memberikan kata-kata semangat kepada saya,” katanya.



Dafi kini sedang dalam perbincangan dengan beberapa label di Indonesia untuk mencuba nasib dalam bidang nyanyian di sana. Namun Dafi tidak mahu mengambil keputusan tergesa-gesa sebaliknya ingin memilih dengan betul bagi memastikan segalanya berjalan dengan lancar.

Selain itu, Dafi juga memegang salah satu teraju dalam teater Di Bawah Lindungan Kaabah yang bakal dipentaskan di Istana Budaya. Antara barisan pelakon yang terlibat untuk pementasan yang diadaptasikan dari novel karya Allahyarham Prof. Haji Abdul Malik Karim itu adalah Adi Putra, Nasha Aziz, Fizo Omar, Elfira Loy dan ramai lagi.

ARTISMELETOP: Kesian Dafi. Bintang tak selalunya bersinar.
Previous Post Next Post