Hanez Suraya Harap jodoh dengan Romie


Hanez Suraya

BIARPUN jiwa sedang bergelodak dek kontroversi yang melanda namun wajahnya tetap tenang kala berkongsi rasa hati bersama Pancaindera petang Khamis lalu.

Tentu sahaja dilabel perampas suami orang dan wanita perosak rumah tangga membuatkan hatinya pedih dan terhiris.

Malah situasi itu turut mencabar kesabaran diri lebih-lebih lagi apabila maruahnya diperlekehkan oleh sesetengah pihak.

Tidak mampu bertahan apabila sewenang-wenangnya diserang dengan kejian, Hanez Suraya Abdul Aziz tetap menafikan dia perampas walaupun lelaki itu suami orang. Lebih teruk lagi apabila dia dilaporkan berkata, kekasihnya seorang duda.

Memang nama Hanez Suraya cukup hangat diperkatakan sejak seminggu dua ini ekoran kontroversi kisah cintanya dengan Mr. R yang didakwanya duda tetapi sebenarnya masih suami orang.




Peliknya walaupun ternyata suami orang, masih berlaku tuduh menuduh dan cabar mencabar dengan isteri Mr. R . Tidak cukup dengan itu, Hanez dan Mr. R mengadakan sidang akhbar tetapi isteri Mr. R tidak ada di sidang akhbar itu. Penjelasan hanya sebelah pihak sahaja.

Sebenarnya bukan suatu yang luar biasa apabila artis wanita berkahwin dengan suami orang yang kaya, ternama dan berpengaruh. Ini perkara biasa dan sepatutnya sudah tidak menjadi kontroversi lagi. Perkara yang jarang berlaku sepatutnya menjadi kontroversi.

Sepatutnya dalam fenomena artis wanita berkahwin dengan suami orang, masyarakat tidak perlu lagi memberi perhatian yang melampau.

Berhadapan dengan pelbagai pandangan serong masyarakat Hanez mengakui bahawa dia terpaksa menghadapi dugaan besar dalam hidupnya itu.

"Kesabaran ada hadnya. Cukup-cukuplah saya berdepan dengan macam-macam kata nista sepanjang minggu lalu kini saya tidak akan berdiam diri," katanya membuka bicara dan mempertahankan dirinya bukan merampas suami orang.

Berani kerana benar. Itu tegas gadis berusia 29 tahun ini ketika ditemui untuk sesi fotografi di Shah Alam, Selangor. Ketika sesi fotografi berlangsung di satu sudut kelihatan kekasihnya, Mr. R atau Romie Razin Adilha bersama dua rakannya.

Ketika berbicara soal jodoh, Hanez sangat percaya dan yakin dengan lelaki yang bakal menjadi kepala keluarganya satu hari nanti.

"Apabila berkawan dengan mana-mana lelaki, saya akan siasat tentang latar belakangnya. Kalau dia sudah ada isteri, awal-awal lagi saya angkat kaki. Saya memang tak mahu suami orang! Tapi apabila bertemu dengan Romie Disember lalu , dia beritahu perkahwinannya bermasalah," ujarnya.

Tambah Hanez lagi, kejujuran dan keikhlasan lelaki itu menawan hatinya biarpun masih suami orang.

"Mungkin sebab itulah saya tidak berfikir panjang untuk serius dengan Romie hingga dia melamar awal Januari lalu," dakwanya.

Pun begitu apa yang dikesalkan Hanez apabila hubungannya itu disensasikan kerana lelaki itu bukan duda seperti yang diperkatakan sebelum itu.

Walhal kata Hanez, dia cuma kurang bernasib baik apabila hubungannya itu berlangsung saat rumah tangga Romie dengan isterinya, Nurliyana Abdul Manan bergolak.

Kesannya dia terkena tempias berbaur negatif daripada segelintir masyarakat yang berterusan menghukum tanpa mengetahui sebenarnya Hanez tidak mahu suami orang.

Mahu membersihkan nama yang didakwa tercalar kata Hanez, itu yang mendorong dia mengadakan sidang akhbar Rabu lalu. Turut hadir pada majlis itu ialah peguamnya Wan Nurliyana Abdul Rahman dan peguam Romie, Rubiah Jaffar.

Mengambil pendekatan tidak mahu lagi ‘melarikan diri’ dia juga tidak takut untuk ke hadapan dan menyatakan pendirian berhubung isu berkenaan kerana percaya dia berada di pihak yang benar.

Selain mahu segera membersihkan namanya yang tercalar kata Hanez, dia juga tidak peduli apabila tindakannya itu bakal mengundang kebencian masyarakat .

"Memang sukar untuk mengubah persepsi negatif yang sudah mendahului pemikiran segelintir pihak. Saya juga tahu usaha untuk menukar pandangan serong itu pasti tidak berjaya.

"Sebab dalam kalangan artis Malaysia yang pernah terpalit dengan cerita kontroversi pasti akan berterusan dilabel jahat oleh masyarakat yang berfikiran kolot. Teruslah memburukkan saya tidak kira di Twitter, facebook atau di mana saja, saya sudah tak kisah," katanya penuh makna untuk berdepan dengan masyarakat yang dilabelkan kolot itu.

Kahwin dengan Romie?

MENGULAS tentang perancangan masa depannya dengan Romie kata Hanez, dia tidak berani untuk bersuara kerana perkara itu masih kabur.

Mengakui pernah menyatakan hasrat untuk berkahwin pada tahun ini tetapi perkara itu masih belum dapat dipastikan lagi.

Ini kerana tegasnya, soal jodoh adalah perkara di luar bidang kuasanya. Apa yang diharapkan pelakon ini adalah berdoa dojodohkan dengan Romie.

"Biarlah takdir yang menentukan hala tuju perancangan kami. Saya tidak mahu terburu-buru dalam perkara yang membabitkan masa depan. Romie ada komitmen sendiri. Biarlah dia dahulukan perkara penting dan menguruskan hal-hal perkahwinannya. Saya tak mahu masuk campur.

"Saya juga sama sekali tidak akan mendesak Romie untuk segera berkahwin dengan saya. Saya pun masih tahu malu," katanya yang mengakui akan mengundur diri andai Romie masih suami orang.

Menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengatakan dia terpikat dengan Romie kerana kekayaan sebaliknya kerana peribadi yang baik.

Kata Hanez, soal kekayaan Romie adalah isu kedua kerana yang penting kesediaan lelaki itu untuk menerima dia seadanya.

Katanya, "Kalau dapat bakal suami orang kaya itu adalah bonus tapi apa yang penting adalah hati budi."

Mengajukan persoalan tentang penerimaan keluarga kedua-dua belah pihak berhubung kontroversi itu , Hanez berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada mereka.

Dia mendakwa keluarga Romie memberi sokongan kuat kepadanya ketika berdepan dengan kemelut tersebut.

Dakwanya lagi, kata-kata semangat yang diberikan itu secara tidak langsung menambah keyakinannya untuk meneruskan hubungan dengan Romie.

Menganggap ‘perang’ yang terjadi sebagai dugaan awal percintaan dengan Romie kata Hanez lagi, itu penilaian utama yang mencerminkan ketulusan cinta ahli perniagaan itu terhadapnya.

"Pada mulanya saya anggap Romie tidak mahu bertanggungjawab atas apa yang berlaku tapi sebenarnya dia memang seorang lelaki yang gentleman. Pada masa yang sama, dia tidak pernah membuka cerita yang mengaibkan mana-mana pihak," katanya.

ARTISMELETOP: Tak habis-habis si Hanez Suraya ni.
Previous Post Next Post