Umrah pertama Sarah bersama suami

MEMILIH untuk mengunci mulut dan tidak bercerita mengenai perkenalannya bersama isteri, pelakon Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 29, pinta Syamsul, biarlah kisah cintanya hanya dia dan Sarah sahaja yang tahu.

"Saya faham kalau artis lain berkahwin mereka akan berkongsi cerita tetapi saya memilih untuk asingkan kisah peribadi dengan kerjaya saya.

"Pada saya, itu hak masing-masing. Bukan sombong tidak mahu berkongsi tetapi saya memilih untuk tidak mahu kongsikan mengenai perkenalan mahupun percintaan kami," ungkap Syamsul lemah.

Bagaimanapun, Syamsul akui memilih Sarah sebagai isterinya kerana berasakan pelakon Lu Pikir La Sendiri The Movie itu boleh menjadi isteri yang baik dan solehah.

"Bila pertama kali bertemu dengan Sarah, naluri saya mengatakan dia boleh jadi isteri yang baik. Kalau dengan cara bimbingan yang betul, saya yakin dia boleh jadi isteri yang solehah," jelasnya usai majlis akad nikahnya bersama Sarah di Masjid Al-Mukarramah, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya pagi Sabtu lalu.




Biarpun enggan menjalani prosedur rawatan pesakit denggi iaitu dimasukkan G intravenus drip (IV) yang mengandungi cecair saline ketika majlis akad nikah berlangsung, namun Syamsul akur dengan permintaan doktor untuk memasukkan drip ketika sidang akhbar berlangsung.

Dengan wajah sembab dan lemah, Syamsul, 30, tetap bersemangat meneruskan pernikahannya dengan Sarah pada pagi Sabtu lalu.

Dalam suasana sederhana, tepat pukul 10.30 pagi akhirnya Sarah sah menjadi isteri kepada Syamsul dengan sekali lafaz.

Pasangan itu dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Kariah Masjid Al Mukarramah, Mat Syaharuddin Ar Rashid dengan berwalikan bapa Sarah, Megat Kamaruddin Megat Shamsuddin.


DENGAN sekali lafaz, Puteri Sarah Liyana sah menjadi isteri Syamsul Yusof.

Syamsul memberikan mas kahwin sebanyak RM1,111 kepada Sarah. Bagaimanapun, pasangan ini tidak mahu menyatakan jumlah wang hantaran.

Seribu hikmah kena denggi

Mentakrif hari bahagia itu, Syamsul akui bersyukur dapat melaksanakan akad nikahnya biarpun masih belum pulih daripada demam denggi yang dihidapi sejak Selasa lalu.

"Syukur alhamdulillah semuanya selesai. Terus terang saya ingat tidak mampu hendak bernikah pada hari ini. Alhamdulillah berkat pertolongan dan sokongan keluarga saya dan mertua serta kawan, saya mampu datang pada hari ini untuk bernikah. Sarah juga sudah jadi isteri saya yang sah.

"Ada seribu hikmah mengapa saya kena denggi tetapi hikmahnya biarlah saya dan keluarga sahaja yang tahu. Tidak perlulah saya kongsikan," ujarnya.

Sarah yang setia di samping Syamsul pula mengakui sentiasa berfikiran positif menerima dugaan tersebut sebagai persiapannya untuk menjaga Syamsul sehingga pulih daripada demam denggi selepas ini.

"Ini (Syamsul kena demam denggi) merupakan persiapan untuk saya macam mana hendak jaga dia (Syamsul) selepas ini (selepas jadi suami isteri). Macam mana saya hendak menghadapi masa-masa kesukaran bersama dia.

"Saya tidak pernah berasakan ia suatu benda yang sukar atau dugaan sebab saya sentiasa berfikiran positif. Memang tanggungjawab saya menjaga dia di hospital selepas ini," luahnya yang cantik dalam persalinan serba putih rekaan Eja Shahril Collection & Design.

Disoal apa tarikan Syamsul di matanya, kata Sarah, Syamsul mampu membimbingnya selain menganggap suaminya itu seorang guru yang baik kepadanya.

Umrah pertama Sarah

Syamsul juga disoal sama ada mengizinkan Sarah berlakon selepas ini.

Kata Syamsul: "Kita tidak boleh hendak jadi sempurna. Buat apa yang berkat dalam hubungan suami isteri. Kalau dengan menyuruh dia berhenti berlakon memberi keberkatan, saya pilih itu.

"Namun dia juga sudah lama berhenti berlakon. Saya gembira melihat dia bekerja di butik. Dia juga ada masa untuk diri dia dan keluarga.

Menyambung bicara suaminya, ujar Sarah pula, dia sudah berhenti berlakon sejak tahun lalu lagi dan ia keputusan muktamadnya.

"Saya gembira dengan kerja sekarang di butik Eiliya. Selain itu saya juga sudah ada rekaan baju, jubah dan tudung sendiri. Saya mahu fokus kepada perniagaan itu selepas ini," ungkapnya optimis.


YUSOF HASLAM tidak dapat menahan sebak selepas anak keduanya, Syamsul Yusof selamat diijabkabulkan dengan Puteri Sarah Liyana.

Tidak merancang untuk berbulan madu, sebaliknya pasangan ini merancang untuk mengerjakan umrah pada bulan Ramadan nanti.

"Saya rasa lebih afdal kalau kita pergi pada bulan Ramadan tetapi kalau ada masa, kami pergi awal. Kalau tidak, kami pergi masa bulan Ramadan nanti. Saya tidak pernah pergi umrah. Ini kali pertama saya akan pergi umrah dengan suami," lantunnya teruja.

Syamsul juga bersependapat dengan Sarah untuk mengerjakan umrah pada bulan Ramadan.

"Insya-Allah, kami merancang untuk pergi umrah. Ramadan juga sudah hampir tiba. Mungkin hujung Ramadan kami pergi. Cahaya mata pula kalau ada dalam masa terdekat, kami terima. Kami tidak merancang," jelasnya selepas disoal mengenai kehadiran cahaya mata.

Syamsul turut memberitahu bakal aktif semula mengarahkan filem selepas majlis perkahwinannya selesai.

Memilih untuk menghasilkan filem cinta dan seram, ujar Syamsul, dia terpaksa menangguhkan proses menghasilkan filem tersebut kerana ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada perkahwinannya.

"Selepas ini saya akan sambung buat filem cinta dan seram. Benda ini sudah ditangguh lama sebab hendak kahwin. Saya tidak mahu fikir kerja kerana ingin membuat persediaan diri menjadi suami," katanya.

Tanggungjawab Datuk Yusof selesai

Usai sahaja anak keduanya, Syamsul dinikahkan, air mata Datuk Yusof Haslam gugur tanpa diminta-minta.

Ada kesedihan dan kegembiraan pada wajah lelaki berusia 60 tahun itu.

"Sebagai seorang ayah, saya sudah laksanakan tanggungjawab saya untuk nikahkan anak. Hari ini anak saya Syamsul sudah bernikah dengan Puteri Sarah pilihan dia. Alhamdulillah saya dengan datin berbesar hati.

"Walaupun dia dalam keadaan kurang sihat tetapi dia tetap kuat semangat untuk meneruskan pernikahannya hari ini (Sabtu lalu)," ujar Yusof.
Previous Post Next Post