Selepas lagu Hanya Aku diangkat sebagai pemenang tempat kedua Anugerah Juara Lagu 28 (AJL28) lalu, Hyper Act semakin banyak menerima tawaran persembahan, sekali gus membuatkan jadual mereka semakin padat.
Hyper Act yang dianggotai Ronnie (vokal), Freddy (gitar), Toi (bes), Etan (gitar kedua), Labib (dram) dan Akir (keyboard) yang sebelumnya lebih banyak menghabiskan masa di studio kini sudah jarang berbuat demikian apabila jadual persembahan semakin bertambah.
Apa yang pasti, mereka sudah memasuki fasa baru dan selepas menang di AJL 28, Hyper Act ‘sangkut’ pula dalam pencalonan Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 (ABPBH2013).
Dikenali terlebih dulu dalam pasaran lagu Melayu, apapun permulaan karya band ini asalnya banyak terarah kepada lagu Inggeris. Akan tetapi sehingga kini masih belum berkesempatan menembusi pasaran lagu itu.
Perkara itu didedahkan sendiri Ronnie bahawa lagu Kayangan yang menjadi runut bunyi filem Laga adalah terjemahan daripada lagu Inggeris berjudul Memories.
Bagaimanapun, mereka kemudian sepakat mempertaruhkan lagu berkenaan dalam versi Melayu selepas mendapat permintaan untuk filem berkenaan.
Memfokuskan semula kepada cerita perjuangan asal, mereka lebih banyak mencipta lagu Inggeris, tercetus persoalan adakah mereka terus melupakan hal itu sebaik berjaya menembusi pasaran Melayu?
Apalagi sering tampil dengan melodi yang cukup membuai terutama lagu Hanya Aku dan Harapan, bagaimana pula perancangan mereka bagi mengetengahkan karya Inggeris?
Menurut Ronnie, mereka tidak sesekali akan mengetepikan terus berkarya lagu Inggeris, namun semestinya baru mencipta nama, mereka mahu benar-benar mengukuhkan kedudukan terlebih dulu dalam industri muzik.
“Sebenarnya, awal-awal dulu hala tuju kami adalah lebih kepada memasarkan lagu Inggeris, tapi berikutan peluang dalam pasaran tempatan datang lebih dulu maka kami memutuskan untuk ‘go with the flow’.
“Sudah ada beberapa lagu Inggeris dalam simpanan kami dan semestinya sudah mengimpikan pula untuk cuba menembusi pasaran Inggeris tempatan pada suatu hari nanti.
“Bagaimanapun, kami sedar masih terlalu baru dalam industri muzik dan lebih baik fokuskan kepada pasaran Melayu dulu buat masa ini,” katanya.
Turut mengimpikan suatu hari nanti akan pergi lebih jauh, mereka juga tidak menolak sebarang peluang andai mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.
“Satu daripada impian kami tentunya dapat menembusi pasaran Amerika Syarikat (AS) pada masa hadapan. Mungkin terlalu tipis, namun kami cuma berharap dan tidak menolak sebarang kemungkinan lain.
“Apatah lagi, proses ‘mastering’ untuk lagu-lagu kami sekarang pun memang dibuat di Nashville, AS. Doakan sajalah peluang itu terbuka buat kami,” katanya.
Teruja buat persembahan di ABPBH2013
Lebih banyak menjayakan persembahan di luar mahupun aktiviti lain, ternyata itu juga antara penyebab band terbabit semakin disenangi peminat tanah air.
Menurut Ronnie, mereka tidak mahu tampil pada mana-mana acara semata-mata sekadar untuk membuat persembahan saja memandangkan peminat juga sudah menjadi keutamaan mereka sekarang ini.
“Syukur, banyak berjumpa dan beramah mesra dengan peminat, saya boleh katakan kami sudah boleh mengecam mana-mana peminat yang selalu datang menonton persembahan kami,” katanya.
Selain dicalonkan dalam kategori Artis Duo/Berkumpulan Popular, Hyper Act juga buat pertama kalinya akan menggegarkan acara yang berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands pada 6 April depan.
Digandingkan bersama penyanyi tidak asing lagi, Dayang Nurfaizah dan pendatang baru, Encik Mimpi, kata Ronnie lagi, ia satu penghormatan berkongsi pentas dengan dua artis terbabit.
“Memang teruja, apatah lagi barisan artis yang membuat persembahan bukan calang-calang. Kami rasa sangat bertuah diberi kepercayaan untuk turut menyerikan acara itu,” katanya.