Che Ta Bercuti berlakon demi kandungan



Muhammad Ali atau Aishah merupakan nama yang sudah dipilih pasangan ini untuk bakal anak mereka. Tidak menolak teruja untuk mengetahui jantina anak, Rozita Che Wan atau lebih mesra dengan panggilan Che Ta memberitahu, dia sendiri tidak menyangka perkahwinan keduanya yang baru berusia empat bulan sudah membuahkan hasil. Tidak pernah tertekan dengan soal anak, bagi Che Ta dia bagaimanapun sangat teruja dengan perkhabaran gembira itu.

Walaupun ini merupakan kali ketiga buat Che Ta untuk bergelar wanita hamil. Namun ada yang berbeza kali ini.

Bagi Che Ta, ada perasaan takut untuk dia mengandung selepas 16 tahun berlalu. Hanya mengharapkan yang terbaik, wanita ini sudah mempunyai perancangan dalam memastikan dia benar-benar bersedia dengan kehadiran anugerah paling dinanti mana-mana pasangan suami isteri.

"Saya belum membuat pemeriksaan di hospital. Kalau tidak silap usia kandungan mungkin dalam lima minggu. Paling lambat saya akan buat pemeriksaan adalah pada hujung bulan ini. Kalau ikut perkiraan, mungkin Disember ini saya sudah mengendong bayi saya dan Zain," katanya tersenyum.

Baru sahaja menyambut ulang tahun ke-41, bagi Che Ta ini merupakan antara hadiah paling berharga. Tidak cukup dengan itu sahaja, dia yakin kehadiran anak ini bakal melengkapkan impian Zain untuk bergelar bapa.

"Zain memang rapat dengan anak-anak saya. Dia juga suka budak-budak. Jujurnya melihat anak adik-adik saya dia sering memberitahu dia yakin mampu menjadi seorang ayah yang baik untuk anak kami nanti.

"Mungkin ini hadiah hari lahir untuk kami berdua tahun ini, Zain baru sahaja menyambut hari lahir yang ke-30 pada 23 Februari lalu dan saya 9 Mac," katanya.

Seperti biasa berita baik yang dikongsinya melalui laman Instagram mengundang kata-kata tidak enak. Bagi Che Ta seperti biasa dia tidak terlalu ambil pusing soal itu memandangkan baginya tanggungjawabnya kini adalah untuk menghargai anugerah Allah ini.

"Kenapa saya perlu malu untuk mengandung di usia kini? Bukannya terlalu tua. Bukan juga saya mengandung secara yang salah. Saya tidak ambil kisah bagi mereka yang mahu bersikap negatif, itu memang melambangkan keperibadian mereka yang tidak boleh tengok kegembiraan orang lain," katanya.

Mengingati kembali momen penting ketika dia mengetahui sudah berbadan dua, menurut Che Ta pada mulanya Zain enggan membenarkan dia meneruskan ujian.

Bagaimanapun selepas beberapa ketika Zain sendiri yang ke farmasi untuk membeli alat pengesan kehamilan.

"Memang Zain ikuti waktu subur saya, jadi dia tahu keadaan saya. Bila sudah lambat datang bulan, saya beritahu dia untuk membuat ujian sendiri. Namun dia terlalu berdebar sampai menolak untuk melakukan ujian tersebut. Dia mungkin tak mahu kecewa.

"Bagaimanapun akhirnya dia sendiri yang membelinya. Sampai kini, pengesan kehamilan itu disimpan Zain dengan rapi yang menggambarkan bagaimana seronoknya dia bila mengetahui saya mengandung," katanya tersenyum lebar.




Cuti berlakon

Tidak menolak bakal berehat daripada dunia lakonan bermula bulan April ini, bagi Che Ta dia tidak melihat ini sebagai sesuatu yang merugikan. Sama seperti ibu lain, dia tahu pengorbanan ini perlu dilakukan demi anaknya.

"Saya akan menghabiskan dahulu telemovie sampai hujung bulan ini. Selepas itu saya akan berehat dari dunia lakonan. Sebenarnya ini juga permintaan Zain. Jadi saya fikir dengan keadaan kini adalah lebih baik saya ikut sahaja permintaannya.

"Bagaimanapun bukan bermakna saya akan duduk di rumah sahaja. Selain menguruskan butik saya, pengacaraan dalam Primadona juga akan berterusan seperti biasa," katanya.

Menyedari sendiri ada yang perlu diutamakan buat masa ini, selain rehat dia juga pasti makanan serta vitamin tambahan lain akan menjadi makanan rutinnya selepas ini. Menurut Che Ta lagi buat masa ini dia sangat berhati-hati dalam memastikan kandungannya berada dalam keadaan baik.

"Memang Zain sendiri tidak mahu saya aktif. Dia mahu saya banyak berehat. Itu permintaan suami dan saya kena ikut.

"Mungkin dari segi pemakanan juga saya akan ambil lebih banyak makanan yang bernutrisi tinggi mulai sekarang, kerana tahu kini saya perlu makan untuk kandungan juga," katanya.

Menjelaskan keadaan kedua anaknya pula, Che Ta tidak menolak kehadiran orang baru ini nanti sedikit menggembirakan kedua anak terunanya Ammar Effendy, 18, dan Aniq Ezzra,16.

Walaupun dia sudah diberitahu kedua anaknya itu untuk mendapatkan seorang adik lelaki, Che Ta bagaimanapun bersyukur tiada riak cemburu buat kedua-dua anaknya itu.

"Mereka sangat gembira, walaupun jarak umur mungkin terlalu jauh, tetapi itu tidak pernah menyebabkan mereka tidak mahu kehadiran seorang lagi adik. Malah pernah mereka nyatakan kepada saya mahu seorang lagi adik lelaki.

"Anak kedua saya sebelum ini pernah menyatakan kegusaran kalau ada adik baharu nanti, katanya takut terpaksa menjaga adiknya. Bagaimanapun bila dia tahu saya mengandung dialah orang yang paling gembira kini," katanya.
Previous Post Next Post