Selepas program One In A Million (OIAM) musim pertama pada 2006, Lokman hilang seketika daripada dunia seni.
MEMILIH sesuatu kerjaya untuk meneruskan kelangsungan hidup bukanlah satu tugas mudah bagi setiap individu, malah terpaksa berhadapan dengan pelbagai halangan mahupun rintangan agar ia menjamin masa depan yang mampu memberi sinar yang berpanjangan.
Sementelah mengakhiri persaingan dalam program realiti One In A Million (OIAM) musim pertama terbitan 8TV di minggu keenam pada 2006, nama Lokman Aslam, 27, terus hilang di persada muzik tempatan sebelum membuat kemunculan dua tahun selepas itu bagi melancarkan single pertamanya berjudul Namun Engkau Tahu.
Mengakui strategi pemasaran yang lemah ketika itu, sambutan terhadap single yang berentak pop itu tidak begitu memberangsangkan, sekali gus namanya gagal mendapat tempat di hati peminat muzik tanah air, apatah lagi untuk dikenali umum.
Ditambah pula, pada 2009, pemergian insan tersayang iaitu arwah bapanya, Abdul Mutalip Mohd. Amir, 62, akibat serangan sakit jantung benar-benar memberi impak terhadap kehidupan peribadinya sehinggakan ada ketika, dia merasakan seperti tidak terurus dan terumbang-ambing.
Pun begitu, semangat jitunya untuk bergelar anak seni masih utuh.Disebabkan itu, Lokman yang juga berbakat sebagai komposer tidak putus harap untuk terus berkarya menghasilkan nukilan yang bermutu bagi meneruskan karier dalam bidang nyanyian, sekali gus menjadi salah seorang penyanyi berkaliber.
Lagu tema Fair & Lovely
WALAUPUN mengambil masa yang agak lama, ternyata kecekalan Lokman untuk terus bertahan dalam dunia seni berbaloi apabila lagu ciptaannya, Aku Cinta Padamu berjaya menambat hati orang kuat daripada organisasi yang menghasilkan produk kecantikan terkenal, Fair & Lovely.
Menurut Lokman, lagu tersebut dihasilkan hampir setahun lalu dan pada asalnya ia berentak rancak kerana pop adalah genre pilihannya. Namun, ketika lagu tersebut diserahkan kepada seorang rakan yang juga ahli muzik, susunan dilakukan semula dan ia ditukar kepada rentak balada.
Sejujurnya, saya tidak tahu tujuan sebenar rakan saya itu apabila dia meminta sebuah lagu daripada saya. Atas dasar persahabatan yang terjalin sekian lama, saya berikan sahaja lagu ini kepadanya.
Kemudian, selang beberapa hari, dia meminta saya hadir ke studionya untuk merakamkan semula lagu tersebut dengan rentak yang lebih perlahan berbanding yang asal.
Tanpa saya sedari, rupa-rupanya di luar studio rakaman, terdapat beberapa wakil daripada syarikat kecantikan itu mendengar sesi rakaman yang sedang dilakukan, sekali gus berminat untuk menjadikan Aku Cinta Padamu sebagai lagu tema kempen iklan Fair & Lovely," ujar Lokman.
Ekoran tawaran yang diterimanya itu, Lokman hampir kehilangan kata-kata untuk menggambarkan perasaannya kerana perkhabaran baik yang tidak pernah terlintas di benaknya itu amat mengejutkan.
Menurut Lokman, tawaran tersebut tidak pernah diduga kerana rakannya itu tidak memberi sebarang petunjuk atau klu, ditambah lagi ketika hadir ke studio berkenaan, dia hanya memakai seluar pendek dan berselipar.
Bayangkan, selepas selesai sesi rakaman, saya keluar studio dan dapati ada beberapa orang yang memandang dan tersenyum ke arah saya. Dan pada masa yang sama, saya diberitahu berita baik tersebut. Jadi, macam-macam perasaan ada ketika itu.
Malu disebabkan penampilan saya yang selekeh, terkejut sebab ada ramai orang dan gembira apabila mendapat tawaran tersebut. Perasaan yang bercampur baur," jelasnya yang mengikat kontrak selama setahun bagi menjayakan kempen iklan produk berkenaan.
Maka tidak hairanlah, sejak lagunya mula kedengaran di kaca televisyen tatkala iklan komersial Fair & Lovely disiarkan, populariti Lokman semakin meningkat dan mula menerima undangan untuk menjayakan pelbagai majlis atau jemputan menghadiri acara hiburan tempatan.