Izzue Islam Bukan Pemberi Masalah


IZZUE merangkul anugerah Hero Baru Terhebat di Anugerah Blockbuster 2013.

Tiga tahun mengatur langkah sebagai pelakon tambahan, drama komedi Papa Nak Kahwin arahan Azmi Mohd Hata untuk Astro Warna pada 2011 membuka ruang buat Izzue Islam membuktikan sejauh mana kemampuannya dalam lakonan. Bahkan, dia agak berani mencabar diri dengan membintangi drama komedi.

Berlakon di samping bintang berpengalaman seperti Datuk Eizlan Yusof, aksi Izzue nyata tidak menghampakan Azmi. Apatah lagi, sebagai pelakon baru Izzue disenangi Azmi kerana sikapnya yang suka bertanya, minat belajar dan berani mencuba. Kata Azmi, dia selesa dengan karakter diri Izzue yang selamba itu.





“Pengalaman kerja dengan Izzue dalam drama Papa Nak Kahwin lancar dan tiada masalah. Walaupun, dia pelakon baru dan kali pertama mendapat peranan utama, namun dia seorang yang bersungguh-sungguh. Apatah lagi, dia suka bertanya dan rajin mencuba. Jadi, kami tiada masalah dalam komunikasi.

“Meskipun, saya mungkin pernah juga memarahinya, tetapi ia perkara yang tak boleh dielak dalam proses pembelajaran. Jadi, saya yakin dengan ketegasan ditunjukkan dalam bekerja membuatkan Izzue faham untuk berjaya perlulah serius,” kata Azmi yang turut menyifatkan Izzue seorang anak muda berdikari.


FFM25 juga menobatkan Izzue memenangi anugerah Pelakon Harapan Lelaki.

Mengulas mengenai keperibadian Izzue daripada kaca matanya, Azmi berkata Izzue dikenali adalah seorang pemuda lasak dan dia sama sekali tidak menyangka anak jati Kelantan yang minat pada persembahan ‘gig’ itu akhirnya menjadi salah seorang anggota Forteen. Katanya, sukar juga nak percaya pada mulanya.


“Ini kerana, sewaktu kami bekerjasama dulu, saya selalu berkongsi cerita dengannya mengenai muzik juga. Bahkan, muzik yang kami minati pun hampir sama. Jadi, apabila mengetahui Izzue bergabung dalam Forteen, saya jadi terkejut. Apapun, saya juga amat bangga dengan kejayaan Izzue bersama Forteen.

“Bukan saja dalam nyanyian, saya kagum dengan Izzue kerana mutu lakonannya semakin baik. Malah, dia juga sudah memenangi beberapa anugerah yang mengiktiraf bakatnya. Kini, apa yang diusahakan Izzue sebagai pelakon selama beberapa tahun ini nampaknya berbaloi dan semakin membuahkan hasil,” katanya.

Lebih dua dekad terbabit dalam kerja di belakang tabir, Azmi berkata memang menjadi tanggungjawabnya juga untuk melatih pelakon baru menjiwai karakter dibintangi. Begitulah juga dengan lakonan Izzue dan kini Azmi amat berpuas hati apabila melihat seorang lagi anak didiknya menempa kejayaan.

Penerbit Eksekutif Red Comunication (Red Com) Sdn Bhd, Lina Tan pula berkata dia tertarik memberi peluang kepada Izzue untuk membintangi filem Songlap diterbitkan tiga tahun lalu (2011) kerana yakin dengan komitmen dan kesungguhan Izzue. Katanya, pemilihan Izzue dibuat pun selepas sesi uji bakat yang diikutinya.

“Walaupun, hanya tiga babak saja yang dilakonkan Izzue, tetapi dia nyata bukan seorang yang mudah melepaskan peluang. Saya dapati, dia berlakon dalam penuh kesungguhan dan siapa sangka watak Rizal dilakonkan menjadi. Meskipun, Rizal adalah watak ‘hitam’, namun Izzue berjaya menterjemahkannya.

Tak dinafikan watak Rizal itu cukup menyerlah dan saya berpuas hati. Pada saya, dengan wajah kacak dimilikinya berserta bakat, Izzue memang berpotensi menjadi anak seni berjaya dan dia mampu pergi lebih jauh,” katanya mengakui Red Com sentiasa bersikap terbuka untuk bekerjasama lagi dengan Izzue.

Menurut Lina, setakat ini Izzue sudah membintangi dua filem bersama Red Com dan terbaru pastinya Kami Histeria arahan Shamyl Othman. Bekerja dengan Izzue, sangat mudah kerana dia seorang yang mesra, peramah dan cepat belajar. Cuma, kini sejak popular dia begitu sibuk di lokasi penggambaran.

Rezeki tak putus Izzue dalam lakonan, kata Lina disebabkan kesungguhan dan kegigihannya. Semangat yang besar dalam diri pemuda berusia 24 tahun itu membuatkan Izzue tak gentar mencuba. Tumpang bangga dengan kejayaan Izzue kini, Lina berkata, dia juga tidak sangka Izzue memiliki bakat sebagai penyanyi.

Sehubungan itu, dalam tempoh enam tahun aktif dalam lakonan, Izzue sudah boleh berbangga apabila dia sudah merangkul anugerah berprestij yang mengiktiraf bakat lakonannya iaitu Pelakon Harapan Lelaki di Festival Filem Malaysia Ke-25 (FFM25) dan Hero Baru Terhebat (Anugerah Blockbuster 2013).
Previous Post Next Post