Kaka muncul dengan single solo pertama, enggan berterusan tumpang populariti Zizan
Namanya menjadi sebutan ramai berikutan populariti dua single duetnya bersama Zizan Razak.
Bawaku Pergi yang mula-mula memperkenalkan dirinya ke dunia muzik menjadi siulan ramai, malah klip lagu yang dihasilkan pada 2012 itu mampu mencatat tontonan melebihi 5 juta kali di YouTube.
Tahun lalu, Kaka atau Nor Atiqa Noor Azraff muncul pula bersama single duet kedua berjudul Infiniti Cinta. Sehingga kini lagu terbabit turut mendapat sokongan padu peminat muzik tanah air.
Apabila wanita berusia 25 tahun ini asyik tampil secara duet, maka timbul persoalan apakah beliau tidak mampu untuk berdikari sebagai penyanyi solo? Apakah selama-lamanya Kaka perlu bergantung kepada projek duet untuk mengukuhkan kedudukan dalam arena seni?
Enggan membiarkan persoalan sebegitu membelenggu diri, Kaka akhirnya hadir bersama single solo pertama, baru-baru ini. Beliau ingin membuktikan, lagu berjudul Terpulanglah itu juga mampu membuktikan dirinya seorang penyanyi yang baik dan tidak mengharapkan populariti rakan duet untuk mencipta nama dalam industri hiburan tanah air.
Lagu baru tampil kelainan
Cuma, akui gadis berasal dari Klang, Selangor ini, sudah tentu sedikit sebanyak beliau berasa kekok dan diulit kebimbangan dengan kemunculan secara solo itu.
“Bagaimanapun, perasaan teruja lebih menguasai diri dan saya tidak sabar untuk memperdengarkan lagu ini kepada peminat, serta melakukan persembahan seorang diri. Saya nak berdiri dan bergerak sendiri kerana ia bukanlah susah sangat pun. Apapun, saya perlu lebih berani dan yakin dengan diri sendiri.
“Saya mengimpikan untuk tampil solo bagi menonjolkan kelainan. Terpulanglah pula ternyata menterjemahkan kelainan saya dari perspektif berbeza. Single solo ini memberikan kelainan menerusi irama, lagu dan liriknya. Ia berentak lebih perlahan, dalam genre balada dengan gabungan R&B. Sebelum ini, lagu saya lebih berkonsepkan rancak dan catchy,” katanya ketika ditemui selepas majlis mempromosi koleksi terbaru barang kemas Habib, di KLCC, baru-baru ini.
Single solo nyanyian gadis berbintang Taurus itu ialah hasil nukilan komposer dan penulis lirik baru, QZ, yang diterimanya sebelum Infiniti Cinta lagi. Bagaimanapun, ia ‘diperap’ seketika kerana beliau mahu membalas dendam terhadap Bawaku Pergi, yang pernah mencetuskan kontroversi apabila beberapa bait liriknya disalah erti selain dilihat sebagai lagu yang memberi pengaruh buruk kepada generasi hari ini.
ARTISMELETOP: Baguslah Kaka sudah tidak menumpang populariti Zizan. Yakin pada bakat dan kita mesti berani!
Jom kita layan lagu baru ini