Ella
50 tahun berdiri sebagai akhbar paling berpengaruh di Malaysia merupakan satu tempoh masa yang panjang buat semua. Dalam tempoh berkenaan pastinya Mingguan Malaysia terus merakamkan sejarah dan perjalanan hidup sebahagian besar rakyat Malaysia khususnya.
Meskipun melalui badai dan perjalanan yang penuh duri perkara tersebut langsung tidak mematahkan semangat akhbar ini untuk terus memperjuangan agama, bangsa dan negara yang menjadi pegangan utama sejak dulu.
Bertepatan dengan sambutan kali ke-50 Mingguan Malaysia, akhbar ini bakal menganjurkan Karnival Riuh Sakan di Taman Tema i-City Shah Alam, Selangor pada 22 dan 23 Mac ini.
Pelbagai aktiviti telah dirancang termasuk Konsert Pancaindera yang akan berlangsung pada 22 Mac bermula pukul 8.30 malam.
Membawakan nama-nama besar industri muzik tanah air seperti Ella, Hafiz Suip, Bunkface, Aris Ariwatan dan Mas Idayu, tidak ketinggalan pelbagai aktiviti lain termasuk sesi ramah mesra bersama artis popular tanah air yang akan berlangsung pada hari Ahad (23 Mac) bersama Aiman Hakim Ridza, Fathia dan Shima yang pernah popular dengan lagu Teringin.
Tidak sekadar acara hiburan semata-mata, Karnival Riuh Sakan Utusan Malaysia / Mingguan Malaysia juga bakal dimeriahkan dengan pelbagai acara lain yang bersesuaian dengan konsep kekeluargaan.
Antara aktiviti lain yang telah akan dijalankan sepanjang dua hari karnival berlangsung termasuk pertandingan riuh mewarna untuk kanak-kanak dan mini studio Utusan Karya dan banyak lagi yang menawarkan hadiah menarik untuk peserta.
Untuk pertandingan karaoke pula terbuka untuk kategori solo dan berduet yang menawarkan hadiah lumayan untuk mereka yang bersuara emas.
Selain pihak akhbar turut terlibat Clixster Mobile juga merupakan rakan penganjur dan disokong oleh stesen radio best FM.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan sepasang tiket percuma ke Water World i-City anda boleh mengumpul 10 keping kepala akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia untuk ditukar sehingga 19 Mac hadapan.
Sebarang pertanyaan lanjut hubungi talian 03-9232 4497/ 4438 dan 4436.