Kuiz Konsert Teaterikal Suara Kita dapat sambutan


KUALA LUMPUR 1 Mac. - Kuiz Konsert Teaterikal Suara Kita yang disiarkan laman web Utusan Online, www.utusan.com.my sejak 25 Februari lalu menerima kira-kira 500 penyertaan.

Konsert berkenaan akan dijayakan Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain di Istana Budaya selama tujuh hari bermula Isnin ini.

Pengurus Promosi Eksekutif konsert berkenaan, Rouslan Mokhtar berkata, selaku media rasmi, Utusan Malaysia mula menyiarkan nama pemenang kuiz itu melalui laman web Utusan Online hari ini.

"Senarai nama pemenang turut diberitahu secara berperingkat menerusi e-mel dan khidmat pesanan ringkas (SMS) memandangkan tiket yang menjadi hadiah kuiz tersebut dibahagikan kepada tiga tarikh berbeza iaitu 3, 4 dan 9 Mac.




"Nama pemenang untuk menonton konsert pada 3 Mac diumumkan hari ini manakala pemenang yang bakal menonton konsert pada 4 dan 9 Mac akan diberitahu kemudian," katanya yang dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Rouslan berkata, pihaknya berpuas hati dengan jumlah penyertaan kuiz yang memberi petunjuk positif buat penganjurnya, Awie Entertainment Sdn. Bhd. bahawa konsert itu bakal mencipta fenomena tersendiri.

"Saya menjangkakan konsert ini mendapat sambutan yang menggalakkan kerana tiket untuk hujung minggu iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad begitu laris dan hanya terdapat beberapa tempat duduk kosong.

"Tiket untuk persembahan pada hari biasa juga tidak kurang hebatnya. Berdasarkan pengalaman, kebanyakan penonton gemar membeli tiket di kaunter Istana Budaya," katanya.

Konsert yang mendapat sokongan penuh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan itu turut menampilkan Erma Fatima selaku Pengarah Persembahan dan komposer terkenal, Edrie Hashim sebagai Pengarah Muzik.

Selain membeli secara terus di kaunter Istana Budaya, tiket boleh diperoleh melalui laman web www.ticket2.biz.
Previous Post Next Post