Mark Adam Mula Di Kenali Di Filipina

Terkenal dengan lagu ‘Pencuri’, Mark Adam yang merupakan penyanyi di bawah label kelolaan DJ Fuzz, Mixology Music semakin meniti populariti. Kini, single ‘Si Katak’ nyanyian Mark mendapat tempat di hati peminat muzik Malaysia. Adakah Mark meraih popularitinya melalui bakat atau pun rupa parasnya yang kacak?

“Saya rasakan semuanya adalah rezeki. Mungkin rupa paras boleh menolong serba sedikit, tetapi sebenarnya saya lebih kepada ingin berkongsi muzik saya kepada semua orang di luar sana. Saya rasa kini pastinya ada yang masih tidak kenal siapa saya, tapi mereka kenal lagu saya. Saya rasakan lagu atau produk itu sendiri akan mendefinisikan penyanyi itu, sama ada dari sudut positif atau pun negatif,” ujar Mark.

Mark juga mula dikenali di negara kelahirannya apabila muzik video bagi lagu ‘Thief’ disiarkan di MTV Asia. Ramai peminat dari Filipina menghantarkan pesanan melalui Twitter kepada Mark dan bertanyakan dari manakah asalnya Mark. Mereka meminati Mark setelah melihat muzik video lagu tersebut.


“Ada juga bertanya, apakah perasaan saya lebih popular di negara Malaysia berbanding di Filipina. Bagi saya, perkara itu tidak merisaukan saya. Tak kira di mana lokasi pun saya berada, muzik tetap muzik. Saya memperjuangkan muzik saya. Saya rasakan lebih baik jika muzik rumpun kita dapat keluar menembusi pasaran antarabangsa, seperti apa yang cuba dilakukan oleh Yuna. Dia semakin mendapat tempat di persada antarabangsa,” ulas jejaka ini lagi.




Ketika ditanya adakah Mark akan mengambil tawaran untuk menjadi artis rakaman di Filipina sekiranya diberikan tawaran, Mark memberitahu sudah  semestinya.

“Sudah semestinya saya akan mengambil peluang yang ada. Namun begitu, semuanya kena seimbang. DJ Fuzz ada suruh juga saya cari peluang di Filipina, tetapi belum lagi buat masa ini. Saya mahu kukuhkan kedudukan saya di Malaysia. Semuanya masih dalam perancangan,” tutur Mark.

Melihatkan kepada tajuk-tajuk lagu Mark yang kedengaran ‘catchy’, Mark sendiri mahu memasukkan unsur humor ke dalam lagunya. Sepatutnya, bait lirik lagu ‘Si Katak’ berbunyi ‘mukaku yang kurang kacak’. Namun begitu, semasa proses rakaman lagu tersebut, lirik tersebut ditukarkan kepada ‘mukaku yang macam katak’ untuk menyuntik sedikit elemen humor di dalamnya.

Mark juga punyai perancangan untuk merakamkan single balada terbarunya yang berjudul ‘Teddybear’. Lagu tersebut berkisarkan mengenai cerita sedih, namun Mark tetap mahu menyuntikkan sedikit ciri humor di dalam lagu tersebut. Tetapi semuanya masih dalam perancangan kerana selepas lagu ‘Si Katak’, Mark bakal mempromosikan single bersama Ainan Tasneem dan Juzzthin yang sudah pun siap dirakamkan iaitu ‘Malunya’.

Bercakap mengenai rakaman album, Mark akan mencuba untuk menghabiskan proses rakaman album solonya dalam tahun ini juga. Setakat ini, Mark sudah mempunyai lima buah lagu solo yang sudah pun dirakamkan iaitu ‘Sampai Nanti’, ‘Pencuri’, ‘Thief’, ‘Si Katak’ dan ‘Pimples’.

Previous Post Next Post