Nadiah M Din Ceria, Mesra


Nadiah M Din

Langkah pertama Nadiah M Din sebagai pelakon bukan sandiwara. Sebaliknya, ia langkah jujur untuk mengembangkan bakatnya ke Malaysia. Malah tanpa diduga, perjalanannya lancar dan satu demi satu tawaran diterima.

Antara rezeki terawal ialah telefilem Sandiwara arahan Nizam Zakaria untuk slot Cerekarama TV3, baru-baru ini.

Dia ditawar menjayakan drama itu selepas pengarahnya selalu mengikut gerak kerjanya di laman Instagram.

“Ketika Nizam mengarah satu drama, saya komen pada satu gambar dan mengucapkan salam perkenalan dari Singapura.




Tak sangka pula beliau juga asal Singapura.

Dari situ, saya dirisik untuk berlakon di bawah pengarahannya.

“Apabila saya beritahu keluarga mengenai perkara itu, mereka terkejut dan beranggapan ia gurauan,” kata Nadiah yang ceria dengan pelbagai aksi lucu di laman sosial Instagram miliknya.

Nadiah akui keletahnya yang senang bergaul dengan semua orang membuatkan peluangnya untuk berkembang dalam industri hiburan lebih cerah.

Pelakon persis artis kulit hitam di Amerika Syarikat, Rihanna sememangnya peramah dan mudah mesra.

Ketika sesi fotografi bersama SELEBRITI, Nadiah sering bergurau senda, lantas sesi fotografi dilakukan dalam suasana ceria dan penuh warna.

“Saya sudah lama mahu melangkah ke sini (industri hiburan Malaysia) kerana melihat perkembangan yang sihat serta peluang yang terbuka luas untuk artis berbakat.

“Sebelum membuat keputusan ke sini, beberapa rakan pernah menyuarakan kerisauan kerana beranggapan negara ini bukan mesra dengan artis luar, tapi ternyata tanggapan itu meleset.

“Sepanjang melalui proses penggambaran, saya dilayan mesra, malah berat badan saya naik mendadak kerana diberi makan secukupnya,” kata Nadiah seraya ketawa.

Katanya, walaupun pada masa ini terpaksa berulang alik dari Singapura dan Malaysia, dia tidak kisah asalkan hasratnya tercapai.

Apatah lagi dia bakal beraksi dalam filem Sinaran: The Movie arahan Osman Ali membabitkan pelakon ternama Malaysia, Singapura dan Indonesia yang kini dalam proses latihan koreografi.

Filem adaptasi daripada rendisi lagu nyanyian penyanyi popular tanah air, Datuk Sheila Majid itu menggandingkan Lisa Surihani, Neelofa, Erwin Shah Dawson dan Hisyam Hamid.

Selain rancak dalam bidang lakonan, Nadiah lincah beraksi di pentas peragaan dan majalah fesyen.

Katanya, sebagai model berkulit sawo matang, pasaran di Singapura terhad kerana ia dikuasai model berkulit cerah dan keturunan Cina.

“Saya pernah beraksi dengan agensi dari Amerika dan mereka menyukai warna kulit saya kerana beranggapan ia jauh lebih unik.

Mereka mahu saya mengekalkannya dan tidak mahu saya ‘memutihkan’ kulit saya.

“Saya hampir terkejut kerana sedari dulu saya dimomokkan dengan definisi putih itu lebih diterima bidang peragaan.

Apabila mendengar kata-kata positif itu, saya kembali bersemangat mengekalkan jati diri saya,” katanya jujur.

Berkongsi kisah keluarga, Nadiah akui bakat seni dimiliki bukan setakat berlakon dan ‘pose’ cantik di depan kamera, malah dia berbakat dalam bidang seni lukis yang diwarisi daripada arwah ayahnya, Mohammad Din Mohammad, pelukis terkenal Singapura kelahiran Melaka.

“Arwah ayah sentiasa percaya pada kebolehan anaknya.

Dia memberi banyak dorongan kepada kami enam beradik agar aktif dalam bidang seni.

Adik beradik saya yang lain turut terbabit dalam dunia seni secara langsung sebagai pemuzik dan pelukis.

“Sebelum meninggal, ayah pernah berpesan supaya saya meneruskan kerjaya dalam bidang seni diceburi dan jangan berputus asa,” katanya ingin bergandingan dengan aktres Nabila Huda suatu hari nanti.
Previous Post Next Post