SEJAK akhir-akhir ini, wajah Nur Risteena, sering dilihat menghiasi drama dan telefilem yang bersiaran di saluran TV3.
Bermula dengan telefilem Karlos, diikuti Playboy Itu Suami Aku, Menjinak Ombak, Rozana dan terbaharu, Dosa Kelmarin, maka tidak hairanlah dia mula dilabel sebagai 'anak emas' di rangkaian televisyen popular itu.
Menafikan akan perkara tersebut, pemilik nama penuh Nur Risteena Munim Zainul Ilyas, 25, sebaliknya berkata, peluang itu adalah satu rezeki dan kepercayaan yang bermakna buat dirinya.
"Sejujurnya, saya tidak pernah melihat kemunculan kerap saya di TV3 telah menjadikan saya ‘anak emas’ stesen itu, sebaliknya ia adalah penghargaan dan kepercayaan yang cukup besar buat saya semenjak terlibat dalam dunia lakonan.
"Saya juga sedar bukan mudah untuk muncul di TV3, lagi-lagi saya adalah pelakon baharu.
"Tapi, saya tahu setiap peluang yang diberi adalah rezeki buat saya," katanya kepada Zass.
Namun begitu, kata Nur Risteena, dia tidak menolak kemunculannya di stesen itu telah membuatkannya semakin dikenali oleh peminat dan membuka peluang kepadanya untuk terus mengembangkan kerjaya seninya.
Justeru, ketika ditanya bagaimana dia mengatasi pelbagai tuduhan 'liar' sebegitu, Nur Risteena memberitahu: "Pada awal-awal kemunculan dulu, saya akui saya cepat melatah malah apabila dengar saja cerita-cerita sebegini, saya akan cepat patah semangat.
"Tetapi kini, saya terima semua sudut pandangan dengan positif dan jadikannya sebagai panduan di kemudian hari," katanya.
Dalam pada itu, Nur Risteena juga sangat menghargai sanjungan yang diterima daripada peminatnya.
"Sebelum ini saya tidak pernah bermimpi untuk terlibat dalam bidang ini.
"Tanpa disangka semuanya telah bermula dan saya bersyukur penglibatan saya dalam bidang lakonan diterima baik.
"Saya akui persaingan yang ada hari ini memang hebat, tapi apa yang saya boleh buat adalah lakukan yang terbaik kerana tidak mahu hancurkan kepercayaan yang diberikan kepada saya selama ini," kata pelakon filem Mamak Cupcake ini.
Tampil berhijab?
Sebelum ini, Nur Risteena terkenal dengan imej seksi. Bagaimanapun, kemunculannya dalam drama 13 episod, Menjinak Ombak, wanita ini kelihatan ayu berhijab.
Bahkan, bukan itu saja, dia kini juga sedang menjalani penggambaran drama bersiri 13 episod, Sedetik Cuma untuk siaran TV Al Hijrah, bergandingan dengan Sheera Iskandar dan Ana Dahlia.
"Seksi itu satu subjektif bagi saya.
"Mengenai bertudung pula, buat masa ini, saya belum bersedia lagi.
"Tapi, akan tiba satu masa yang sesuai nanti. Mungkin selepas kahwin agaknya," ketawanya.
Dalam pada itu, pelakon cantik ini juga sempat melahirkan rasa simpatinya mengenai insiden pesawat MH370 yang sehingga kini masih hilang sejak 8 Mac lalu.
"Kejadian yang berlaku adalah di luar jangkaan.
"Kita tahu banyak usaha yang dilakukan oleh pelbagai pihak. Oleh itu, teruskan berdoa.
"Saya berharap pesawat ini segera dijumpai," katanya.