PENGLIBATAN tokoh agama dalam bidang seni, bukanlah perkara asing lagi. Selain ada yang tampil dengan album sendiri, ada juga yang tidak keberatan untuk menjayakan drama dan filem tempatan.
Sebagai contoh, Ustaz Azhar Idrus (UAI) pernah membintangi filem arahan Pierre Andre yang berjudul, Ustaz Mu Tunggu Aku Datang.
Masih mengekalkan karakternya, ternyata kemunculan UIA berjaya menarik ramai golongan muda-mudi untuk menontonnya.
Malah penampilan julung kalinya, Juara Imam Muda Musim Pertama, Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan,30, dalam pementasan teater 'Projek Kahwin' di Panggung Sari, Istana Budaya pada 6 hingga 14 Jun depan, dijangka memberikan satu kelainan pada naskah teater tersebut.
Teater terbitan Mask Team Production ini turut menampilkan pelakon-pelakon hebat seperti Izzue Islam, Hanez Suraya, Shah Iskandar, Sherry Alhadad dan Zulin Aziz.
Apa yang membuatkan ustaz menerima tawaran ini?
Kerjaya saya sebagai penceramah sangat terbatas untuk melakukan perkara lain termasuk lakonan. Lagipun sebab utama saya memilih karya Mask Team kerana ingin belajar selok-belok teater.
Saya tidak pernah menjejakkan kaki di Istana Budaya untuk melihat pementasan atau konsert. Saya ingin merasai sendiri bagaimana produksi teater bekerja dan mengenali peminat teater dengan lebih dekat.
Mungkin ia satu peluang baik untuk saya menimba pengalaman sekali dalam seumur hidup.
Lagipun dalam persembahan ini, saya memegang watak sendiri iaitu sebagai Ustaz Asyraf yang menyampaikan info mengenai perkahwinan mengikut syarak Islam. Malah penerbit sendiri bertegas mahu ahli agama sendiri kerana mereka lebih arif dalam perkara ini.
Boleh terangkan sedikit watak ustaz dalam teater ini?
Seperti yang saya jelaskan tadi, saya akan membawa watak sendiri dan memberikan pandangan mengenai 'perkahwinan sebenar' menurut Islam.
Dalam teater ini saya perlu menjayakan lima babak. Tiga daripadanya memerlukan saya mengendalikan kursus kahwin yang melibatkan Izzue Islam dan beberapa pelakon lain.
Ia turut menyaksikan kami berbual secara santai. Saya juga ada berbincang dengan penulis skrip supaya dapat menyampaikan dialog mengikut cara tersendiri.
Selepas teater ini, adakah ustaz akan menerima tawaran lakonan drama atau filem?
Sebelum ini saya pernah muncul sebagai 'cameo' dalam telefilem dan drama. Tapi saya tidak ada rancangan untuk berlakon secara serius.
Tak terlintas pun nak jadi pelakon. Bukannya tiada ustaz atau ustazah yang ceburi berlakon, namun dalam teater nampaknya sayalah orang pertama.
Dan penglibatan saya kali ini, mungkin kali 'pertama dan terakhir' dalam lakonan. Lagipun bukan senang berlakon apatah lagi saya mempunyai jadual yang sangat padat setiap hari dan dakwah masih menjadi keutamaan saya.
Julung kali terlibat di pentas teater, boleh kongsi perasaan ustaz?
Walaupun saya sudah biasa bercakap dalam ceramah atau program bual bicara sebelum ini. Namun dua perkara ini sangat berbeza kerana kita perlu mengikut skrip dan jalan cerita yang disediakan. Perasaan takut memang ada, Insya-ALLAH... saya akan cuba lakukan yang terbaik.
Bagaimana pula dengan persediaan dan persiapan ustaz untuk pementasan ini?
Tiada sebarang asas dalam lakonan, membuatkan saya bimbang jika tersalah cakap atau tersasul di atas pentas nanti.
Tetapi saya bersyukur kerana pihak produksi menyediakan kelas khas untuk saya pelajari lenggok bahasa teater. Saya akan mengikuti kelas lakonan dan bacaan skrip terlebih dahulu bersama pengarahnya sebelum sesi latihan bermula.
Apa pendapat ustaz mengenai hiburan seperti ini?
Secara peribadi, saya tidak menolak bahawa dengan melibatkan unsur Islamik mungkin ia akan menarik golongan tertentu ke panggung.
Lagipun teater kini berjaya menarik tumpuan generasi muda untuk menonton persembahan di Istana Budaya.
Secara tidak langsung ia juga sebagai medium untuk saya berdakwah.
Tidak mahu pelakon mengambil tugas sebagai watak ustaz, penerbit mahu orang yang berpengalaman dan mahir dengan agama untuk bercakap mengenai Islam. Sekali gus ia fakta-fakta mengenai hal-hal perkahwinan tidak disampaikan dengan salah. Tidak dinafikan, ia juga boleh dilihat sebagai berdakwah menerusi lakonan.
Jika sebelum ini, Ustaz Azhar Idrus pernah menerima kritikan hebat kerana melibatkan diri dalam lakonan, bagaimana pula dengan ustaz?
Ya, saya sudah bersedia untuk menghadapi sebarang pandangan atau komen-komen negatif masyarakat.
Dari awal lagi saya tahu bahawa akan ada 'cakap-cakap belakang' mengenai penglibatan saya dalam pementasan ini. Namun saya tidak kisah kerana ada individu yang tidak melakukan apa-apa, pun dikritik.
Jadi setiap perkara yang kita lakukan, mesti bersedia dengan kekuatan mental dan fizikal.
Pada saya, tidak salah untuk berlakon sekiranya ia memberi manfaat berguna kepada penonton yang hadir.
Seperti mana Ustaz Azhar Idrus (Ustaz Mu Tunggu Aku Datang) berlakon menyebabkan namanya terpalit dengan persepsi kurang baik. Begitu juga saya, perasaan bimbang dan takut tetap ada namun saya serahkan semuanya kepada Yang Maha Esa.
Akhir sekali, mungkin ustaz boleh memberi pencerahan terhadap segelintir pihak yang menganggap hiburan itu menjurus kemaksiatan ?
Saya tidak bersetuju sama sekali dengan pandangan itu. Ketika zaman kegemilangan Islam, Kerajaan Andalus dan Abbasiyah dahulu cukup terkenal dengan seni budaya dengan tarian pedangnya.
Ia merupakan cara mereka untuk berhibur dan mengikut syariat Islam.
Tetapi, zaman sekarang masyarakat nampak perkara itu berbeza. Nampak tarian sahaja, semuanya tidak boleh atau haram.
Saya tidak tujukan kepada semua tetapi ia melibatkan sesetengah masyarakat yang memandang serong pada kesenian. Untuk pengetahuan, ada perkara yang boleh diterima pakai dan ada yang tidak. Sedangkan stesen TV Islamik tidak dapat diterima pada mulanya, kini menerima maklum balas positif, begitu juga Istana Budaya.
BIODATA
NAMA : Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan
PANGGILAN : Ustaz Asyraf
ASAL : Pulau Pinang
TARIKH LAHIR : 12 Februari 1984
ISTERI : Nurhusna Yusof
ANAK : Muhammad Aisy Raihan
PENDIDIKAN : Diploma Qiraat di Maahad Tahfiz Pulau Pinang (2003-2006); Ijazah Sarjana Muda Syariah Pengkhususan Fiqh dan Usul di Universiti Malaya, serta Sarjana juga di Universiti Malaya dalam bidang yang sama.
KERJAYA : Penceramah, penyanyi & pelakon.
ALBUM : Imam Muda Asyraf "Rahmatan Lil’Alamin"
TEATER : Projek Kahwin (Jun)