TIDAK dinafikan ada sesetengah wanita terlalu obses menjaga kecantikan untuk sentiasa kelihatan cantik dan menarik sepanjang masa.
Malah ada juga di kalangan mereka ini sanggup berhabis untuk membeli produk berjenama mahupun ke pusat kecantikan.
Namun berlainan pula dengan pelakon sedang meningkat naik, Syatila Melvin akui dirinya tidak ke arah itu malah lebih gemar bersederhana dalam penjagaan kecantikan.
Untuk mengetahui rutin penjagaan kecantikan yang diamalkan pelakon ini setiap hari, jom kita ikuti temu bual ini.
Definisi kecantikan buat diri anda?
Bagi saya, kecantikan itu perlu bermula daripada dalaman seseorang kerana ia memainkan peranan yang penting. Kecantikan seseorang tidak akan sempurna jika seseorang itu cuma menjaga kecantikan luaran atau fizikal semata-mata.
Sejauh mana anda mementingkan kecantikan luaran?
Sebenarnya saya seorang yang sangat sederhana dalam penjagaan kecantikan. Saya juga tidaklah terlalu obses, tapi penjagaan itu hanya sekadar untuk keperluan sahaja, asalkan nampak cantik.
Bagaimana rutin penjagaan kecantikan anda setiap hari?
Bila tidak bekerja atau terlibat dengan sebarang sesi penggambaran, saya tidak akan mengenakan solekan yang tebal, cukup sekadar mengenakan ‘eyeliner’ sebab masa itulah saya mahu kulit berehat dari sebarang solekan.
Tips penjagaan kulit yang anda amalkan?
Sebenarnya, saya tidak pernah amalkan sebarang petua kecantikan, cuma seperti wanita lain, saya akan amalkan pemakaian produk kecantikan yang bersesuaian dengan kulit.
Pada masa yang sama, saya juga ada ambil suplemen dan vitamin C untuk kulit untuk melindungi kulit yang terdedah dengan solekan tebal dan cuaca tidak menentu ketika waktu kerja. Alhamdulillah, buat masa ini saya tidak pernah alami sebarang masalah kulit.
Dari segi penjagaan bentuk badan, apa yang anda lakukan?
Berat badan saya sekarang 48 kilogram dan tinggi 171 sentimeter. Seumur hidup saya memang tidak pernah amalkan diet. Mungkin disebabkan saya mewarisi fizikal sama seperti keluarga yang memang tidak pernah mengalami masalah berat badan.
Rahsia lain yang diamalkan untuk kekal langsing?
Ramai yang tanya tips untuk kekalkan berat badan, tapi saya sendiri tidak amalkan apa-apa petua. Cuma apa yang boleh saya kongsikan, saya sentiasa buat diri rasa gembira, walaupun ada masalah. Mungkin dari situlah ia bermula.
Aktiviti masa lapang yang sering anda lakukan?
Saya banyak habiskan masa lapang di rumah dan aktiviti yang paling saya buat di rumah adalah mengemas bilik tidur sendiri.
Kalau boleh memang saya akan pastikan bilik tidur sentiasa bersih dan kemas dan boleh dikatakan ini juga aktiviti terapi buat saya.
Selain itu, cara lain hilangkan tekanan kerja?
Saya ada seorang anak buah berusia lima bulan, Zayyan Sufi. Bila ada masalah atau tekanan, saya akan luangkan masa melayani keletahnya.
Dialah pengubat segala duka saya buat masa ini dan segala masalah akan hilang bila saya lihat wajahnya.
Pernah digelar sebagai pelakon berimej seksi, apa komen anda?
Perkara itu memang saya tidak nafikan, tapi apa yang boleh saya katakan, itulah diri saya yang sebenar.
Namun sekarang saya cuba kurangkan penampilan seperti itu memandangkan usia pun telah meningkat.
Tapi saya tidaklah buat perubahan yang begitu drastik tapi secara berperingkat.
Adakah anda seorang yang mementingkan jenama untuk penampilan menarik?
Saya tidak cenderung ke arah itu, sebab saya sendiri tidaklah memiliki barangan yang berjenama, cukuplah jika barang itu berkualiti dan cantik.
Jauh sekali untuk berhabis wang ringgit. Tapi tidak salah bagi mereka yang berkemampuan dan apa yang penting kita perlu ukur baju di badan sendiri.
Perkembangan terbaru dalam karier lakonan anda?
Sekarang saya sedang menjalani penggambaran drama 26 episod ‘Gerimis Salju Naminara’ bersama barisan pelakon seperti Nadzim Othman dan Tasha Shila yang akan ditayangkan di saluran RTM.
Berbeza daripada lakonan terdahulu, kali ini saya memegang watak perempuan yang baik.
Jadi inilah peluangnya untuk buktikan saya juga mampu membawa watak selain antagonis dengan baik.