Pelbagai usaha telah dilakukan untuk memulihkan SENIMAN serta memastikan perjuangan persatuan yang selama ini memayungi kebajikan golongan pelakon tempatan ini akan dapat diteruskan seperti biasa semula sepertimana yang diinginkan segelintir ahli-ahli persatuan.
Namun begitu, segala usaha yang dibuat termasuk menyerahkan dokumen SENIMAN kepada Jabatan Pertubuhan Pendaftaran Malaysia gagal dilakukan kerana pihak persatuan hiburan ini mendakwa usaha tersebut telah dihalang oleh bekas bendahari SENIMAN, Abu Bakar Omar.
Lanjutan daripada itu dan setelah berdepan dengan jalan buntu, ada kemungkinan bahawa Persatuan SENIMAN Malaysia yang sudah pun diwujudkan sejak 1 Januari 1974 bakal dibubarkan tidak lama lagi.
Dalam laman sosial facebook SENIMAN, satu posting berkaitan dengan kemelut yang berlaku di dalam persatuan ini telah dimuatnaik oleh pihak Admin SENIMAN pada 25 MAC 2014. Kandungan posting tersebut berbunyi:
"BERITA PENTING : Segala usaha telah di buat, segala dokumen Persatuan Seniman Malaysia telah di serahkan kepada ROS, tetapi semuanya dihalang oleh Abu Bakar Omar melalui Peguamnya. Segala usaha untuk memulihkan SENIMAN berada di jalan mati!.
Pihak ROS dan ajk seniman di bawah harun salim bachik telah melakukan yang terbaik bagi menyelamatkan seniman tetapi masih di bangkang oleh Abu Bakar Omar melalui peguamnya!
Dengan ini, insyallah dalam masa terdekat Persatuan Seniman Malaysia akan di istiharkan sebagai bubar dan tutup untuk selamanya. Tunggu masa je.
Terima kasih Abu Bakar Omar Mantan Bendahari Seniman. Kerana ini yang dia mahu!".
Sebaik saja posting itu dimuatnaik di dalam laman facebook, pelbagai komen telah dilontarkan oleh ahli-ahli Persatuan SENIMAN yang lain.
Kebanyakan mereka meminta supaya persatuan ini tidak akan dibubarkan dan rata-rata juga menyalahkan Abu Bakar Omar kerana menjadi penyebab usaha memulihkan SENIMAN gagal.