Sabhi dan isteri memilih untuk menetap di Petaling Jaya , Selangor.
Lain orang, lain cerita cintanya. Begitu juga perihalnya dalam mengemudi bahtera perkahwinan.
Ada yang menggunakan kaedah romantis, ada yang lebih kepada hubungan manja sesama suami isteri tetapi semuanya berasaskan kepada komunikasi.
Bagi pelakon dan penyanyi Sabhi Saddi, perkahwinan yang mula dibina pada 17 Julai 2012 dengan Rosi Awani Abdul Razak masih dalam fasa persahabatan. Sehingga kini, dia menganggap isteri sebagai teman terbaik buat dirinya.
Memang, saya sampai sekarang menganggap hubungan antara kami sebagai teman rapat sebenarnya. Bukan nak lari daripada tanggungjawab sebagai suami isteri, tetapi lebih selesa begitu. Lebih senang untuk meluahkan sesuatu," katanya.
Berkongsi kembali detik pertemuan mereka, Sabhi berjumpa dengan isterinya sebagai seorang rakan dan mereka berkawan hampir setahun lamanya.
Masa itu, dia adalah rakan wanita yang paling rapat dengan saya. Banyak luahan perasaan saya, dia yang dengar. Kiranya dia menjadi pendengar peribadi saya," seloroh Sabhi.
Tiba-tiba, selepas setahun, Sabhi mengaku akhirnya dia diberi kekuatan meluahkan perasaan untuk menyunting wanita itu menjadi suri dalam hidupnya.
Masa itu memang kami tidak bercinta langsung. Malam itu, saya ada undangan persembahan dan saya bawa dia bersama sebagai teman. Ketika itu, dalam kereta, saya beranikan diri dan beritahu yang saya hendak berkahwin dengan dia. Masa itu, saya pandang muka dia dan terus cakap, 'jom kahwin.'
Masa itu dia terpinga-pinga macam tak percaya. Tapi, saya beritahu yang saya serius dan dia minta saya berjumpa keluarganya.Esoknya, saya seorang diri terus berjumpa kedua ibu bapa dia dan Alhamdulillah, diterima dengan baik," ujarnya.
Tambah Sabhi, dia sendiri sebenarnya terkejut dengan perkahwinan itu kerana dia akhirnya berkahwin dengan seseorang yang dianggap rakan ketika itu.
Sebelum itu saya dah banyak kali kecewa kerana cinta dan tidak sangka, akhirnya teman rapat yang menjadi jodoh. Ini semua kerja tuhan dan kini saya sangat bersyukur dipertemukan dengan isteri saya," katanya sambil menjeling ke arah isterinya.
Risau pergolakan rumah tangga artis
Berbual tentang situasi sekarang tentang pergolakan rumah tangga artis, sedikit sebanyak ia turut memberi kesan kepada Sabhi sendiri.
Bagi Sabhi, mendengar cerita-cerita yang tidak baik seperti penceraian, membuatkannya berasa takut dan risau.
Memang saya risau tapi bila saya fikir balik, ia terpulang bagaimana cara kita hendak mengemudi rumah tangga itu sendiri. Tuhan sudah memberi kita jodoh, jadi kita berusaha untuk menjadikan jodoh itu sebagai jodoh yang baik. Bukan bermaksud lepas berkahwin, kita boleh lepas tangan sahaja," ujarnya.
Dalam rumah tangganya Sabhi sentiasa mengamalkan sikap saling tegur menegur antara satu sama lain bagi mengelakkan perkara yang tidak disukai berulang.
Memang benar seorang suami adalah seorang ketua keluarga, tetapi tidak semestinya apa yang diberitahu oleh suami itu adalah semuanya betul. Suami juga ada kesilapan dan berhak untuk ditegur. Jadi, jangan cepat melatah dan perlu ada tolak ansur kalau tidak, semuanya akan menjadi serba tidak kena," jelasnya.
Sabhi mengaku, dia sendiri adalah seorang yang panas baran, selain suka memendam rasa marahnya. Tetapi kalau sekali meletup, memang parah jadinya.
Sebab itu saya terapkan dalam diri, kalau marah sekalipun, jangan sebut benda-benda yang boleh mengundang kepada penceraian. Masalah kena selesaikan bersama-sama.
Kalau kita sudah sebut sehingga terkeluar perkataan 'cerai' daripada mulut, semuanya sudah terlambat. Nak menyesal pun tidak berguna," katanya.