Adira Belum Fikir Soal Kahwin



MASIH terus diterima sebagai penyanyi meskipun cuma setakat menang naib juara AF8.

BEBERAPA tahun lalu, mereka pernah menganyam detik-detik bahagia dalam percintaan, tetapi terputus di tengah jalan. Apabila ditemukan semula dalam satu persembahan pentas yang sama, apakah sejarah lama akan berulang? Itu persoalannya. Dua bintang Akademi Fantasia ini barangkali tidak punya jodoh di alam realiti, tetapi apabila digandingan dalam satu persembahan berskala besar berdua bersama, apakah sejarah lama boleh dilupakan begitu sahaja? Bagi Adira, soal itu tidak akan timbul sama sekali.

Penyanyi yang berusia 23 tahun ini menganggap usianya masih muda dan tumpuannya kini lebih ke arah mengembangkan kerjaya sebagai penyanyi yang lebih berjaya pada masa depan.

Sudah bertemu dengan cinta baru bersama seorang jejaka muda yang tiada kaitan dengan bidang seni, Adira mengatakan rasa untuk berkahwin itu belum datang dalam hatinya buat masa sekarang.




"Buat masa ini, saya belum terfikir untuk mendirikan rumah tangga kerana saya rasa masih muda lagi. Kalau boleh saya mahu berkahwin sebelum usia saya 30 tahun. Kalau dalam masa lima tahun yang akan datang ini, saya belum nampak akan berkahwin dalam waktu terdekat ini.

"Malah, saya juga belum bercadang untuk mencuba bidang lain seperti lakonan kerana tumpuan saya lebih kepada bidang nyanyian terlebih dahulu. Saya tidak mahu terburu-buru dan hilang fokus kerana bakat utama saya adalah dalam bidang nyanyian," katanya kepada Hits baru-baru ini.

Adira yang merupakan naib juara AF8 mengakui cukup terkejut apabila mereka digandingkan dan Hafiz pula juara AF7 dalam persembahan Minggu Setiausaha A Golden Moment With Hafiz yang akan diadakan pada 22 April ini Dewan Matrade, Kuala Lumpur.

Pada awalnya, baik Hafiz mahupun Adira tidak mengetahui bahawa mereka akan digandingkan pada persembahan itu yang mengenakan harga jualan meja dari RM580 hingga RM780.

"Saya memang tidak tahu dan tidak menyangka akan digandingkan dengan Hafiz dalam persembahan itu nanti. Pihak penganjur kemudiannya menghubungi dan bertanyakan tentang persetujuan saya untuk menjayakan persembahan itu.

"Memang tidak dinafikan saya bukan sahaja terkejut tetapi rasa gementar juga apabila bakal bertemu Hafiz di pentas. Ini kerana, saya tidak pernah mengadakan persembahan besar bersama Hafiz di atas satu pentas persembahan bersama-sama.

"Malah, saya juga tidak pernah menjayakan persembahan sempena Minggu Setiausaha sejak menjadi penyanyi beberapa tahun lepas," katanya mengenai persembahan yang dianjurkan Coop Matrade dengan kerjasama AMI Global Sdn. Bhd. itu.

Sewaktu ditanya sama ada persembahan itu boleh mengeratkan lagi persahabatannya dengan Hafiz ataupun mampu mengimbau nostalgia keintiman mereka suatu ketika dulu, Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi enggan mengulas panjang.

Sebaliknya, penyanyi yang popular dengan lagu berjudul Ku Ada Kamu ini menjelaskan dia tidak menafikan berasa gementar kerana itu bukanlah suatu persembahan biasa tetapi berprofil tinggi dan biasanya dijayakan oleh penyanyi berpengalaman.

"Saya anggap ini suatu cabaran buat saya sebagai penyanyi baharu. Tidak dinafikan ada juga rasa gementar dan takut di hati saya kerana ini adalah persembahan sempena Minggu Setiausaha saya dan Hafiz yang pertama kami jayakan," ujarnya.

Gandingan Adira dan Hafiz bukan sahaja dilihat serasi tetapi mereka juga dikatakan mampu menghidupkan persembahan Minggu Setiausaha yang akan turut dijayakan oleh Afdlin Shauki sebagai pengacara majlis.

Selain mempunyai keserasian vokal Hafiz dan Adira juga pernah merakamkan beberapa buah lagu duet seperti berjudul Ombak Rindu meskipun tidak pernah digandingkan di atas satu pentas persembahan yang besar seperti itu.

"Mungkin saya dan Hafiz boleh menarik penonton dan sebab itu pihak penganjur memilih kami untuk digandingkan pada persembahan tersebut. Kami akan berduet dalam beberapa buah lagu tetapi kami akan putuskan tajuk lagu itu kemudian.

"Cuma apa yang pasti saya akan menyanyikan dua buah lagu solo dan dua buah lagu duet dengan Hafiz pada malam itu nanti. Lagu-lagu itu juga akan saya umumkan kemudian. Biarlah ia menjadi kejutan buat para penonton nanti," jelasnya.

Selain sibuk mengadakan persembahan sempena malam itu, Adira kini sedang sibuk mengadakan persiapan untuk rakaman album terbaharunya yang bertajuk Swan yang akan berada di pasaran tidak lama lagi.

Album yang masih mengekalkan konsep irama pop yang diterbitkan oleh Astro Entertainment Sdn. Bhd. itu dilihat mampu untuk mengekalkan kesinambungannya sebagai penyanyi dalam dunia seni suara tanah air.

"Saya rasa sudah sampailah masanya saya merakamkan album baharu kerana album terakhir saya diterbitkan pada 2011. Selepas tiga tahun tiada album baharu saya takut nanti semakin lama nama saya semakin dilupakan oleh para peminat.

"Tetapi saya tetap bersyukur kerana sehingga kini saya masih mendapat tawaran menyanyi walaupun Illusi adalah satu-satunya album yang saya ada. Sebab itu, dengan adanya album baharu saya nanti, maka lebih banyaklah lagu yang saya ada kalau mengadakan persembahan nanti," katanya lagi.
Previous Post Next Post