Selepas Berhijab, Rasa Rindu Wardina Terhadap Lakonan Terhapus


Wardina tidak kesal keluar daripada dunia hiburan

Pelakon dan pengacara, Wardina Safiyyah tidak berasa kesal atau rindu untuk kembali ke bidang lakonan seperti dahulu.

Wardina atau nama sebenarnya Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot, 35, berkata, dia senang dengan kehidupannya sekarang tanpa perlu berasa tertekan untuk bersaing apabila berada dalam dunia hiburan.

"Saya tiada hati untuk berlakon, malah tidak rasa kesal atau rindu sedikit pun terhadap bidang itu.

"Bagi saya industri hiburan sangat memberi tekanan apabila semuanya ingin menjadi lebih baik dan bersaing untuk mendapatkan sesuatu tawaran," katanya kepada ARTISMELETOP.

Kali terakhir Wardina tampil dalam drama bersiri Impian Ilyana pada tahun 2008.

Tambahnya, industri seni tempatan tidak perlu terlalu terikut-ikut dengan perkembangan industri seni luar seperti Hollywood.

"Industri seni di sini seharusnya tidak perlu terlalu terikut-ikut dengan perkembangan Hollywood.

"Kita ada identiti kita sebagai negara Islam, kalau tidak seksi sekalipun kita tetap akan disukai melalui bakat yang ada," katanya.




Jelas Wardina, biarpun sudah hampir tiga tahun tidak aktif dalam industri seni, dia masih mempunyai jumlah pengikut yang ramai.

Sementara itu, Wardina yang bakal menyambung pengajian ke Australia pada Jun ini di Brisbane, Australia dalam bidang psikologi berharap dapat menghasilkan dua buah buku yang hampir dua tahun tertangguh.

"Alhamdulillah, buku pertama saya Mama, Saya Nak Makan untuk kanak-kanak berjaya menjadi jualan buku terlaris di kedai buku MPH.

"Sekarang saya ingin menyiapkan dua buah buku lagi sebelum pergi ke Australia iaitu bertajuk Mama, Saya Nak Solat dan sebuah lagi buku kanak-kanak lain," ujarnya.

Katanya, kelewatannya menghasilkan buku-buku tersebut adalah berikutan sibuk melayan orang ramai yang ingin meminta nasihat daripadanya melalui laman sosial Facebook.

Jelas Wardina, keputusannya untuk menyambung pengajian dalam bidang psikologi adalah disebabkan rasa tanggungjawab terhadap masalah dalam masyarakat.

"Saya tidak tahu mengapa orang sering berkongsi masalah mereka dengan saya melalui Facebook.

"Masalah mereka kebanyakannya sangat rumit, namun saya hanya bantu mereka mencari laluan yang betul untuk menyelesaikan masalah itu.

"Tidak dinafikan ada juga di kalangan artis yang secara peribadinya berjumpa saya untuk meminta nasihat dan menyelesaikan masalah mereka," katanya.


Previous Post Next Post